Isu gelandangan di KL kian kritikal, 400 ditangkap setiap operasi - Dr Zaliha

KUALA LUMPUR - Isu gelandangan di ibu negara berada pada tahap kritikal apabila operasi bersepadu yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi persekutuan mengesan sehingga 400 gelandangan dalam satu-satu operasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, situasi itu menunjukkan masalah berkenaan terus berulang dengan kemunculan gelandangan baharu selain kelompok lama kembali semula ke jalanan.
Menurutnya, gelandangan yang dikenal pasti mempunyai latar belakang berbeza termasuk pelarian berdaftar di bawah UNHCR, penagih dadah, individu mengalami masalah mental serta mereka yang berada di Kuala Lumpur untuk tempoh sementara.
“Kadang-kadang dalam satu operasi kita dapat sehingga 400 orang. Ini menunjukkan isu ini memang berterusan dan memerlukan pendekatan lebih tuntas,” ujarnya ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Akasia Jubilee, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, operasi menyelamat DBKL melibatkan penyertaan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses pengesanan, bantuan dan tindakan susulan dapat dilakukan secara menyeluruh.
Tambahnya, kerjasama itu penting kerana gelandangan yang ditemui tidak mempunyai satu latar belakang tunggal, sebaliknya terdiri daripada pelbagai kategori yang memerlukan intervensi khusus mengikut kes.
"Buat sementara, terdapat tiga pusat transit disediakan di ibu negara termasuk di Taman Tunku, yang membenarkan gelandangan tidur dan mendapatkan makanan harian," jelasnya.
Tegasnya, NGO turut digalakkan menghantar makanan terus ke pusat transit berkenaan berbanding mengagihkannya di jalan raya bagi mengelakkan masalah kebersihan.
“Kalau makanan diberi terus di jalanan, ada keadaan di mana makanan itu dipilih-pilih dan yang tidak diperlukan dibuang. Ini menjejaskan kebersihan bandar,” ujarnya.
Tambahnya, sebahagian gelandangan yang dibawa ke pusat pemulihan di Gemenceh telah menamatkan latihan dan berjaya mendapat pekerjaan, menunjukkan langkah intervensi mampu mengubah kehidupan mereka.
Namun begitu, isu gelandangan tetap berulang kerana ada kemasukan gelandangan baharu sementara sebahagian daripada yang lama kembali semula ke jalanan.
Dr Zaliha berkata, JKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti undang-undang sedia ada bagi menentukan agensi paling sesuai untuk memikul tanggungjawab utama mengurus isu gelandangan secara jangka panjang.
“Saya difahamkan akta berkaitan sedang diteliti lebih jauh, termasuk siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana penyelesaian lebih menyeluruh dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Antara lokasi gelandangan utama yang dikenal pasti termasuk kawasan Bangkok Bank dan sekitar Jalan Pudu, selain beberapa lokasi baharu yang muncul berikutan pembangunan infrastruktur di kawasan tertentu.
Katanya, DBKL turut menambah baik reka bentuk kawasan awam seperti tempat duduk dan infrastruktur lain supaya menjadi ‘anti-gelandangan’, sekali gus mengurangkan penumpuan gelandangan di spot sensitif bandar raya.
Ringkasan AI
- Isu gelandangan di Kuala Lumpur mencapai tahap kritikal dengan kemunculan individu baru dan lama
- Gelandangan mempunyai latar belakang berbeza seperti pelarian, penagih dadah, masalah mental
- Operasi menyelamat melibatkan pelbagai agensi untuk pengesanan, bantuan, dan tindakan susulan
- Terdapat tiga pusat transit untuk gelandangan di Kuala Lumpur yang menyediakan tempat tidur dan makanan
- Dr Zaliha menyatakan terdapat usaha meneliti undang-undang untuk pengurusan jangka panjang isu gelandangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

