JPJ siasat aksi bahaya bas merah jambu, Perodua Axia

Aksi Perodua Axia dan bas merah jambu yang tular di media sosial pada Rabu.
Aksi Perodua Axia dan bas merah jambu yang tular di media sosial pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka membuka siasatan berhubung penularan sebuah video yang memaparkan pemanduan berbahaya melibatkan sebuah bas berwarna merah jambu dan sebuah Perodua Axia di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal pada Rabu.

Video berdurasi 1 minit 18 saat itu menunjukkan tindakan pemandu bas terbabit yang mengekori rapat serta seolah-olah cuba menghalang laluan kereta berkenaan.

Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu Perodua Axia tersebut mengubah haluan ke kiri secara mengejut di hadapan bas berkenaan.

Situasi itu berlaku beberapa saat sebelum bas tersebut berhenti di tepi jalan dipercayai bagi menurunkan penumpang.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan telah mengeluarkan Notis Panggilan Temu Siasat (Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987) kepada pemilik syarikat bas serta pemilik Perodua Axia bagi mengenal pasti individu yang memandu kedua-dua kenderaan tersebut pada hari kejadian.

Menurutnya, beberapa tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya pemandu didapati bersalah.

“Antaranya ialah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi sabitan pertama, manakala sabitan kedua boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM10,000 hingga RM20,000.

“Selain itu, tindakan turut boleh diambil mengikut Seksyen 22 APAD 2010(b)(iii) berkaitan kelakuan pemandu kenderaan perkhidmatan awam, yang memperuntukkan denda antara RM1,000 hingga RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya,” katanya menerusi kenyataan.

Siti Zarina berkata, pemandu juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 201 APAD 2010 kerana melakukan perbuatan membahayakan penumpang, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

“JPJ sama sekali tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan jalan raya. Orang awam dinasihatkan mematuhi semua peraturan serta tidak melakukan provokasi ketika memandu,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya kepada JPJ atau pihak berkuasa terdekat bagi membantu siasatan.

Ringkasan AI

  • JPJ Melaka membuka siasatan terhadap video pemanduan berbahaya melibatkan bas merah jambu dan Perodua Axia
  • Video menunjukkan bas mengekori rapat dan seolah-olah cuba menghalang laluan Perodua Axia
  • Insiden berlaku apabila pemandu Axia tiba-tiba berubah haluan ke kiri di depan bas
  • JPJ mengeluarkan Notis Panggilan Temu Siasat kepada pemilik syarikat bas dan pemilik Perodua Axia
  • Beberapa tindakan undang-undang boleh dikenakan termasuk hukuman penjara dan denda berat jika pemandu didapati bersalah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!