Aksi bahaya remaja basikal lajak langgar lampu merah

A
A
A

SUBANG JAYA – Dua remaja menunggang basikal lajak yang tular menunggang secara berbahaya dalam kejadian di persimpangan Putra Heights baru-baru ini mendakwa tidak sedar lampu isyarat sedang berwarna merah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, semakan awal mendapati kedua-dua remaja itu masing-masing berumur 14 dan 15 tahun.

"Kedua-dua remaja itu telah dirakam keterangan pada 6 November lalu sebelum dilepaskan keesokan harinya.

"Kedua-dua remaja terbabit memberi alasan tidak sedar lampu isyarat sedang berwarna merah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, kedua-dua ibu bapa remaja terbabit telah dipanggil untuk dirakam keterangan selain turut diberikan nasihat oleh pihak polis.

"Setakat ini, empat keterangan telah direkodkan melibatkan kedua-dua ibu bapa serta kedua-dua remaja terbabit.

"Kedua-dua remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan tindakan dua remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan polis selepas video aksi mereka tular di media sosial baru-baru ini

Laporan polis dibuat seorang individu sebelum menyerahkan pautan video memaparkan dua remaja menunggang secara berbahaya di persimpangan lampu isyarat Putra Heights.

Artikel Berkaitan:

Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 4 Disember lalu sekitar jam 5.55 petang memaparkan dua remaja berkenaan menunggang dari arah Persiaran Putra Perdana menuju ke Kampung Tengah sebelum melanggar lampu isyarat merah.

Tindakan mereka hampir menyebabkan kemalangan apabila nyaris merempuh sebuah kereta yang sedang bergerak ketika lampu isyarat hijau sekali gus membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Ringkasan AI

  • Dua remaja menunggang basikal lajak ditahan selepas aksi berbahaya mereka tular di media sosial
  • Remaja tersebut mendakwa tidak sedar lampu isyarat sedang merah ketika melintas persimpangan
  • Ibu bapa kedua remaja telah dipanggil untuk dirakam keterangan dan diberi nasihat oleh polis
  • Tiada kecederaan pada kedua remaja berkenaan dalam kejadian tersebut
  • Kejadian berlaku pada 4 Disember lalu dan hampir menyebabkan kemalangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!