'PMX selamatkan kami'


RANTAU PANJANG - "PMX selamatkan kami."
Demikian laungan mereka yang hadir di tapak Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di sini yang mewakili lebih 20,000 penduduk dari 30 buah kampung.
Mereka yang terdiri daripada penduduk, petani, penoreh getah berhimpun bagi menyuarakan permasalahan agar didengari oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus mencari jalan penyelesaian.
Penghulu Tanpa Mukim Dun Gual Periok, Sabri Muhammad berkata, sudah empat tahun penduduk menderita disebabkan PLSB Sungai Golok apabila perlu berdepan banjir hampir lima bulan setiap tahun bermula November hingga Mac.

"Projek yang dijangkakan bakal menyelamatkan mereka itu telah menyebabkan penduduk bukan sahaja perlu berdepan banjir yang buruk sehingga menenggelamkan bumbung rumah, tetapi juga perlu menghadap banjir termenung yang mengambil masa lama.
"Sehubungan itu, penduduk hari ini ingin menuntut satu penyelesaian kekal dan menyeluruh, iaitu dengan mencadangan pembinaan segera terusan pintas (bypass) Sungai Lanchang-Lemal-Sungai Alor Mengkung," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Menurut beliau, berdasarkan dapatan kajian teknikal, terusan sepanjang kira-kira 14.2 kilometer (km) itu mampu mengalihkan aliran banjir terus ke Sungai Pengkalan Nangka dan seterusnya ke Laut China Selatan.
Ujarnya, ia berupaya menghapuskan fenomena 'backflow' atau arus songsang yang menjadi punca utama banjir besar dan termenung.
Sabri memberitahu, terusan terbukti mampu menurunkan paras banjir antara 1.0 hingga 3.5 meter berdasarkan analisis empirik.
"Ia memberi perlindungan sekurang-kurangnya 100-Year ARI, jauh lebih tinggi daripada reka bentuk sedia ada yang hanya melindungi sehingga 50-Year ARI.
"Penyelesaian ini adalah satu-satunya intervensi teknikal yang menyelesaikan masalah dari akar umbi dan bukan sekadar penyelesaian sementara.
"Kami (penduduk) berpandangan bahawa tiada masa lagi untuk menangguhkan tindakan, memandangkan setiap kali musim tengkujuh berlaku risiko kerosakan ban, kerugian ekonomi, serta keselamatan nyawa penduduk semakin meningkat," katanya.

Dalam pada itu menurut beliau, penduduk mengesahkan bahawa punca utama banjir adalah fenomena arus songsang (backflow) dari Sungai Golok yang kembali memasuki Sungai Lanchang- Lemal apabila parasnya berada pada tahap tinggi.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan paras air meningkat mendadak dan melimpah ke kampung-kampung sekitarnya.

"Berdasarkan maklumat teknikal daripada kajian hidraulik serta dokumen rasmi PLSB Sungai Golok, kaedah mitigasi sedia ada termasuk pembinaan ban dan spillway tidak mencukupi serta tidak menyelesaikan punca utama banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

