Pahang miliki 1.4 juta tan rizab REE, nilai dianggarkan RM37.36 bilion - Mohamad Nizar

Mohamad Nizar
Mohamad Nizar
A
A
A

KUANTAN – Pahang memiliki rizab Unsur Nadir Bumi (REE) dianggarkan sebanyak 1.4 juta tan, hasil daripada kajian yang dijalankan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) antara tahun 2016 hingga 2020.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, data tersebut diperoleh daripada laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Pahang dan menjadi rujukan utama dalam merancang pembangunan industri pemprosesan REE di negeri ini.

“Daripada jumlah tersebut, dianggarkan sebanyak 70 peratus kawasan berpotensi mengandungi REE berada dalam kawasan Hutan Simpan, manakala baki 30 peratus terletak di kawasan berstatus tanah milik dan tanah kerajaan.

“Hasil semakan pada 28 November lalu menunjukkan harga semasa bagi RE karbonat ialah AS$6,456.47 per tan metrik. Berdasarkan kadar tukaran AS$1 bersamaan RM4.1325, nilai tersebut dianggarkan berjumlah kira-kira RM37.36 bilion,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas–Cheka) mengenai cadangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Pahang REE Processing Hub yang dikawal dan dimiliki oleh anak negeri, atau diserahkan sepenuhnya kepada syarikat luar seperti Lynas Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri melalui Pahang Mining Corporation (PMC) sedang melaksanakan Kajian Potensi Rizab Mineral yang terperinci khususnya bagi mineral REE bagi mengenal pasti potensi serta jumlah rizab sebenar yang terdapat di negeri ini.

“Kerajaan negeri telah meluluskan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang pada 18 Jun lalu,” katanya.

Selain itu, Mohamad Nizar memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang memberi tumpuan kepada pengoperasian perlombongan peringkat huluan (upstream) bagi memastikan pelaksanaan aktiviti perlombongan REE dapat dijalankan secara mampan serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Jelasnya, pengoperasian peringkat huluan ini penting bagi meyakinkan pelabur untuk melabur dalam pembangunan hub pemprosesan REE bagi peringkat pertengahan atau hiliran.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri juga terbuka dan bersedia mempertimbangkan cadangan penubuhan hub pemprosesan REE di negeri Pahang, sama ada daripada syarikat yang dilantik oleh kerajaan negeri atau syarikat luar.

“Setakat ini, Jawatankuasa Pelaburan Negeri telah mendengar beberapa pembentangan cadangan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa.

“Perkara tersebut masih dalam proses penilaian serta pertimbangan wajar oleh kerajaan negeri,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pahang memiliki rizab Unsur Nadir Bumi dianggarkan sebanyak 1.4 juta tan hasil daripada kajian RMK-11 antara tahun 2016 hingga 2020
  • 70 peratus kawasan berpotensi mengandungi REE berada dalam Hutan Simpan, 30 peratus di tanah milik dan tanah kerajaan
  • Harga semasa bagi RE karbonat ialah AS$6,456.47 per tan metrik, nilainya dianggarkan RM37.36 bilion
  • Pahang Mining Corporation sedang melaksanakan Kajian Potensi Rizab Mineral REE untuk mengenal pasti jumlah rizab sebenar
  • Kerajaan negeri berminat membentuk Pahang REE Processing Hub, terbuka kepada cadangan dari syarikat tempatan dan antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!