Bekas kerani tak mengaku curi barang kemas majikan bernilai RM37,000

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas prosiding pertuduhan selesai.
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas prosiding pertuduhan selesai.
A
A
A

MELAKA - Bekas pembantu tadbir Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan mencuri barang kemas milik majikannya bernilai RM37,000 pada Mei lalu.

Tertuduh, Nurfaraein Shahruddin, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat curang telah mencuri barang kemas milik seorang wanita berusia 47 tahun di Pejabat MPHTJ, Aras 2, Kompleks Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11.10 pagi pada 27 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Difahamkan, mangsa membuat laporan polis selepas ternampak barang kemas miliknya yang hilang telah dijual secara langsung di media sosial oleh sebuah premis kedai emas.

Hasil siasatan polis melalui rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan kemudian berjaya membongkar kejadian tersebut sehingga membawa kepada penahanan tertuduh yang ketika itu merupakan kerani kepada mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Peguam Laila Qalida Adnan yang mewakili tertuduh, dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana anak guamnya sudah tidak bekerja selain menanggung dua anak kecil berusia enam dan tiga tahun selain menjaga ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

“Tertuduh juga perlu menjaga ibunya yang baru mengalami kemalangan manakala suami tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Mohon jaminan rendah iaitu RM3,000 dengan seorang penjamin,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Januari depan.

Ringkasan AI

  • Bekas pembantu tadbir MPHTJ mengaku tidak bersalah mencuri barang kemas milik majikannya bernilai RM37,000
  • Tertuduh didakwa mencuri di pejabat MPHTJ pada 27 Mei lalu
  • Mangsa menyedari kehilangan barang kemasnya yang dijual di media sosial
  • Siasatan polis melalui CCTV membawa kepada penahanan tertuduh
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM3,500 dan sebutan semula kes pada 21 Januari depan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!