Tiga prinsip bentuk integriti dalam keluarga

SETIAP ibu bapa mendambakan anak-anak yang membesar dengan sifat jujur, amanah, beradab dan bertanggungjawab.
Namun realiti dunia hari ini penuh dengan cabaran media sosial yang mempengaruhi tingkah laku, budaya 'pintas' yang nampak mudah, tekanan akademik serta suasana masyarakat yang kadang-kadang keliru antara nilai sebenar dan nilai kosmetik.
Dalam keadaan ini, membentuk integriti bukan lagi tugas sambil lewa, ia memerlukan kesedaran, kesabaran dan strategi yang jelas.
Al-Quran sendiri mengingatkan peranan besar keluarga sebagai tapak pembinaan manusia, seperti firman Allah dalam Surah at-Tahrim ayat 6: 'Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka'.
Ayat ini bukan hanya seruan tentang ibadah tetapi juga amanah untuk mendidik anak-anak dengan nilai integriti yang tinggi.
Berikut adalah tiga prinsip utama yang boleh dilaksanakan iaitu konsistensi, belajar daripada kesilapan dan puji nilai.
Pertama ialah konsistensi iaitu antara kata dan perbuatan ibu bapa adalah asas dalam membentuk integriti anak. Anak tidak belajar melalui ceramah atau arahan, mereka belajar melalui apa yang mereka lihat setiap hari.
Jika ibu bapa mengatakan sesuatu tetapi melakukan sebaliknya, anak akan percaya kepada tindakan, bukan kata-kata. Ambil contoh tentang menepati janji. Seorang ayah berjanji mahu membaca buku dengan anak selepas Maghrib.
Jika tiba waktunya ayah berdalih 'penat' atau 'lupa', anak secara halus belajar bahawa janji boleh diabaikan. Namun apabila ayah tetap menunaikan janji walau letih, anak melihat bahawa amanah perlu dijaga. Integriti ditanam melalui teladan bukan ucapan.
Kedua belajar daripada kesilapan iaitu ramai ibu bapa tanpa sedar membesarkan anak dalam 'budaya takut', bukan 'budaya jujur'.
Anak dimarahi bila tumpahkan air, diherdik apabila buat silap kecil hingga akhirnya mereka belajar satu perkara, lebih selamat menipu daripada mengaku. Sedangkan kesilapan ialah ruang terbaik menanam integriti.
Bayangkan anak memecahkan cawan lalu bersembunyi kerana takut. Ibu masuk, tidak meninggikan suara, sebaliknya berkata lembut sambil membersihkan lantai, 'Tak apa pecah... yang penting kamu beritahu ibu'.
Dalam detik kecil itu, anak belajar bahawa berkata benar tidak berbahaya.
Apabila kesilapan diterima sebagai peluang belajar, anak membesar dengan keberanian moral iaitu berani mengaku salah, berani memperbaiki diri dan berani memilih kebenaran walaupun tidak sempurna.
Ketiga adalah memuji nilai iaitu kita sering memuji pencapaian, A dalam peperiksaan, pingat sukan, tempat pertama pertandingan, sedangkan pujian paling membina ialah pujian terhadap nilai.
Jika anak hanya dipuji atas keputusan, mereka percaya nilai diri bergantung pada markah.
Tetapi jika dipuji kerana jujur, rajin, usaha atau berdisiplin, mereka belajar bahawa karakter lebih penting daripada angka.
Bayangkan anak pulang dengan markah sederhana namun berkata, 'Saya buat sendiri, tak tiru'.
Ibu tersenyum, 'Ibu bangga sebab kamu jujur dan usaha sendiri'. Walaupun markah tidak tinggi, hatinya penuh penghargaan.
Anak seperti ini membesar yakin bahawa kejayaan bukan sekadar keputusan, tetapi integriti di sebaliknya.
Akhirnya, membina keluarga berintegriti bukanlah rahsia besar atau teori rumit, ia bermula dengan tiga perkara sederhana iaitu konsistensi, belajar daripada kesilapan dan puji nilai.
Jika setiap rumah mengamalkan tiga prinsip ini, kita mendidik diri kita untuk menjadi lebih baik dan mendidik anak yang berakhlak baik serta membentuk generasi yang tahu membezakan betul dan salah walaupun tiada siapa melihat.
Sepertimana dalam Surah al-Isra’ ayat 36: 'Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya'.
Integriti negara bermula dengan integriti keluarga dan integriti keluarga bermula dengan kita, sebagai ibu bapa.
*Profesor Dr Hanim Salleh ialah Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

