Naik taraf AYTK kepada Sekolah Imtiaz Swasta bercanggah konsep asal bantu pelajar luar bandar - Ibu bapa pelajar

Cadangan menggantikan AYTK dengan Sekolah Imtiaz Swasta dianggap bercanggah dengan tujuan asal penubuhan asrama berkenaan sebagai satu peluang pendidikan untuk anak-anak Terengganu kurang bernasib baik. Gambar kecil: Kamariah dan Mohd Khairi
Cadangan menggantikan AYTK dengan Sekolah Imtiaz Swasta dianggap bercanggah dengan tujuan asal penubuhan asrama berkenaan sebagai satu peluang pendidikan untuk anak-anak Terengganu kurang bernasib baik. Gambar kecil: Kamariah dan Mohd Khairi
A
A
A

KEMAMAN – Ibu bapa pelajar Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) menuntut penjelasan berhubung cadangan penutupan asrama itu yang didakwa dibuat secara mengejut dan tanpa perbincangan dengan pihak keluarga.

Seorang bapa, Mohd Khairi Azhan Abd Rashid, 35, berkata, mereka mula keliru apabila surat rasmi dikeluarkan memaklumkan asrama akan ditutup, namun dua hari kemudian kenyataan lain pula dikeluarkan bahawa ibu bapa sudah bersetuju, sedangkan perjumpaan hanya dijadualkan pada esok (Sabtu).

"Maklumat tidak konsisten. Kami sebagai ibu bapa tidak dimaklumkan dengan betul.

"Sebelum ini kerajaan negeri mampu menanggung operasi asrama, jadi kenapa tiba-tiba mahu tutup? Kita perlukan penjelasan," katanya yang mempunyai anak sulung bakal memasuki Tingkatan Dua tahun depan.

Menurutnya, cadangan menggantikan AYTK dengan Sekolah Imtiaz Swasta juga dianggap bercanggah dengan tujuan asal penubuhan asrama berkenaan yang sudah beroperasi hampir 40 tahun sebagai satu peluang pendidikan untuk anak-anak Terengganu kurang bernasib baik.

"Imtiaz Kemaman di Kijal sudah ada. Tak perlu tukar kepada Imtiaz Swasta. Konsep Yayasan Terengganu sepatutnya membantu rakyat, bukan dilihat seperti mengejar keuntungan," katanya.

Mohd Khairi turut bimbang jika penutupan dibuat tanpa persediaan awal kerana anak-anak mereka sudah serasi belajar dan tinggal di asrama, selain faktor jarak yang jauh untuk berulang-alik setiap hari.

"Kami bukan menolak perubahan, tapi biar jelas. Kalau tutup untuk naik taraf dan pelajar kembali semula, kita boleh terima. Tapi kalau untuk tujuan lain, itu yang membebankan," ujarnya.

Seorang lagi bapa, Al Ehsan Abdullah, 51, dari Felda Neram 1 turut tidak bersetuju dengan penukaran AYTK kepada Imtiaz Swasta kerana menyifatkannya bercanggah dengan konsep asal membantu pelajar luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Ramai ibu bapa tak setuju. Anak-anak baru nak stabil belajar. Ada yang sudah rancang adik-adik mereka masuk sama. Bila keputusan berubah tiba-tiba, kita jadi hilang semangat," katanya.

Rata-rata ibu bapa berharap perjumpaan pada 13 Disember (Sabtu) ini memberi jawapan tuntas, termasuk kepastian mengenai penempatan pelajar sekiranya penutupan diteruskan.

Seorang ibu, Kamariah A Karim berkata, kebanyakan pelajar yang ditempatkan di AYTK merupakan pelajar cemerlang terpilih dalam kalangan B40 dari pendalaman untuk bersekolah di sekitar bandar Chukai.

"Kami ibu bapa tidak mengetahui punca AYTK akan ditutup dan keliru dengan kenyataanYayasan Terengganu yang mengatakan keputusan menutup asrama itu telah mencapai hasil perbincangan dengan ibu bapa pelajar terlibat sedangkan tiada sebarang perbincangan dibuat sebelum ini.

"Selama ini kami letak harapan tinggi kepada AYTK dalam menyediakan kemudahan asrama tapi berlaku macam ni, kami amat kecewa," ujarnya

Difahamkan, taklimat penstrukturan AYTK dan Pembukaan Sekolah Imtiaz Swasta akan diadakan di Dewan Ibnu Sina AYTK Jalan Mak Chili, di sini jam 2.30 petang pada Sabtu.

Sebelum ini, Yayasan Terengganu menjelaskan bahawa AYTK tidak ditutup atau dihapuskan, sebaliknya akan dinaik taraf bagi pembinaan sebuah Sekolah Imtiaz baharu untuk menampung permintaan kemasukan yang mencecah lebih 5,000 pelajar setiap tahun.

Pengarahnya, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, dakwaan bahawa AYTK ditutup dan menzalimi pelajar adalah fitnah tidak berasas, sedangkan realiti sebenar YT sedang memperluas peluang pendidikan berteraskan al-Quran di negeri ini.

Beliau menegaskan bahawa penempatan pelajar sedia ada terjamin, malah ibu bapa telah dimaklumkan melalui sesi libat urus rasmi bersama pihak sekolah, Yayasan Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Ringkasan AI

  • Ibu bapa pelajar Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) menuntut penjelasan tentang cadangan penutupan asrama
  • Cadangan menutup asrama dan menggantinya dengan Sekolah Imtiaz Swasta dikritik kerana bercanggah dengan tujuan asal penubuhan AYTK
  • Ibu bapa keliru dengan maklumat tidak konsisten tentang penutupan asrama dan keputusan mengejut tanpa perbincangan
  • Ibu bapa bimbang tentang persediaan dan penempatan anak-anak mereka sekiranya penutupan asrama diteruskan
  • Yayasan Terengganu menegaskan AYTK tidak ditutup tapi akan dinaik taraf menjadi Sekolah Imtiaz baru, penempatan pelajar terjamin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!