Keluarga hormat wasiat bapa, kubur depan rumah

SABAH – "Bapa wasiatkan kami kuburkan bapa depan rumah, siap tunjuk lokasi kepada keluarga."
Itu perkongsian Noorfitri Aina mengenai permintaan unik bapanya, Mohd Zainal Jilun yang meninggal secara mengejut pada usia 52 tahun.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, permintaan tersebut pada awalnya mengejutkan semua ahli keluarga, namun mereka akhirnya menerima dan menghormati keputusan bapa.
Menurutnya, meskipun agak janggal apabila kubur di depan rumah tetapi keputusan bapanya itu dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan, selain mendidik anak-anak agar tidak merasa takut dengan kubur.

"Mungkin pada orang tindakan itu pelik tapi pada kami alhamdullillah, ia memberikan keinsafan dan setiap hari tidak pernah lupa untuk mendoakan abah.
“Sejak dari kecil, bapa sering mengingatkan tentang wasiat tersebut setiap kali keluarga berkumpul, kadang-kadang menerusi WhatsApp keluarga, mungkin dia risau kami lupa tentang permintaannya itu.
"Sama juga dengan lokasi kubur ibu, telah ditetapkan akan bersebelahan kedua-duanya kerana bapa mahu berdekatan dengan ibu walaupun telah meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah anak kelahiran Kampung Pintas, Beaufort itu, kediaman mereka merupakan satu-satunya rumah yang mempunyai kubur di halaman.
Ibu kepada dua anak itu menegaskan bahawa kenangan bersama bapanya akan sentiasa segar dalam kehidupan mereka sekeluarga.
"Kami adik beradik dan cucu, semuanya sangat rapat dengan bapa. Dia seorang yang ceria, penyayang dan mudah disenangi orang.
"Hal inilah yang membuat kami betul- betul rasa kehilangan, kasih sayangnya tidak akan dilupakan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Bapa wasiatkan anak-anak untuk dikebumikan di depan rumah dan tunjuk lokasi sebelum meninggal
- Permintaan unik itu awalnya mengejutkan keluarga tapi akhirnya dihormati
- Keputusan bapa mengeratkan ikatan kekeluargaan dan mengajarkan anak-anak agar tidak takut dengan kubur
- Bapa sering ingatkan tentang wasiatnya sejak anak-anak kecil termasuk lokasi kubur ibu yang bersebelahan
- Kediaman mereka satu-satunya di kampung yang mempunyai kubur di halaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

