Jawatan kosong tersembunyi punca pengangguran belia berterusan

SHAH ALAM – Amalan menyembunyikan maklumat mengenai kekosongan jawatan boleh memburukkan lagi kadar pengangguran belia di negara ini, khususnya apabila graduan berdepan kesukaran untuk mendapatkan saluran jelas bagi memohon pekerjaan.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Shafie BP Mammal berkata, masalah utama bukan terletak pada kekurangan graduan berkualiti, tetapi pada tahap ketelusan yang rendah dalam penyebaran maklumat peluang pekerjaan.
Ujarnya, kebanyakan iklan pekerjaan ketika ini hanya dikongsi melalui portal persendirian, kumpulan WhatsApp atau rangkaian tertutup, sekali gus mendedahkan graduan kepada ketidaksamarataan akses terhadap maklumat peluang pekerjaan.
“Statistik menunjukkan kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun adalah sekitar 9.9 peratus, melibatkan lebih 290,000 orang, manakala bagi golongan berusia 15 hingga 30 tahun pula mencatat kadar 6.2 peratus,” katanya.
Menurut Shafie, angka tersebut mencerminkan realiti yang telah lama dihadapi oleh kebanyakan keluarga di negara ini.
“Anak-anak mereka memohon pekerjaan di merata tempat tetapi masih gagal mendapat kerja tetap.
“Mereka tidak pasti sama ada peluang sudah terlepas hanya kerana maklumat tidak tersusun,” katanya lagi.
Bagi menangani isu tersebut, kerajaan telah mencadangkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dengan penambahan Seksyen 45F, yang akan mewajibkan majikan mengiklankan semua kekosongan jawatan di portal MYFutureJobs.
Shafie menjelaskan bahawa langkah tersebut akan mewujudkan satu pusat rujukan nasional yang membolehkan semua graduan merujuk peluang pekerjaan menerusi platform yang khusus dan mudah diakses.
Beliau menambah, majikan masih dibenarkan menggunakan platform lain seperti JobStreet atau LinkedIn, namun MYFutureJobs akan menjadi asas minimum agar rakyat tahu bahawa semua kekosongan mesti dipaparkan di sana terlebih dahulu.
Ringkasan AI
- Amalan menyembunyikan maklumat jawatan kosong boleh memburukkan lagi kadar pengangguran belia di Malaysia
- Masalah utama adalah ketelusan yang lemah dalam penyebaran maklumat peluang pekerjaan
- Iklan pekerjaan sering dikongsi melalui portal persendirian atau rangkaian tertutup
- Kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun adalah sekitar 9.9 peratus
- Kerajaan mencadangkan pindaan Akta dengan mewajibkan majikan mengiklankan semua kekosongan jawatan ke portal MYFutureJobs
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

