Kadar pengangguran Malaysia kekal tiga peratus pada Ogos 2025 - DOSM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Prestasi ekonomi Malaysia yang terus kukuh mendorong pasaran buruh untuk kekal stabil dan berdaya tahan pada Ogos 2025 dengan bilangan penganggur menurun kepada 520,000 orang dan kadar pengangguran pada tiga peratus, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia Ogos 2025.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, hal berkenaan dicerminkan oleh peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, disusuli dengan penurunan bilangan penganggur.

"Tenaga buruh semakin mengukuh pada bulan terbabit, meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17.51 juta orang (Julai 2025: 17.47 juta orang), oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.1 peratus kepada 70.9 peratus (Julai 2025: 70.8 peratus), menunjukkan penyertaan buruh yang lebih tinggi dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja pada Ogos juga bertambah sebanyak 0.2 peratus kepada 16.99 juta orang (Julai 2025: 16.95 juta orang) manakala bilangan penganggur pada bulan tersebut menurun 0.3 peratus kepada 520,000 orang, selepas mencatatkan peningkatan pada bulan sebelumnya (Julai 2025: 521,600 orang) dengan kadar pengangguran Ogos kekal pada tiga peratus seperti Julai.

Beliau berkata, daripada jumlah penduduk bekerja pada Ogos 2025, 74.9 peratus adalah tergolong dalam kategori pekerja, yang menunjukkan peningkatan 0.2 peratus kepada 12.73 juta orang pada bulan tersebut (Julai 2025: 12.71 juta orang) manakala bilangan penduduk bekerja sendiri naik sebanyak 0.5 peratus mencatatkan 3.22 juta orang berbanding 3.21 juta orang pada Julai.

Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor Perkhidmatan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh pada Ogos, terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman manakala bilangan penduduk bekerja dalam sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan dan Pengkuarian serta Pertanian turut menunjukkan trend peningkatan pada bulan terbabit.

"Pasaran buruh Malaysia dijangka terus berdaya tahan pada bulan-bulan yang akan datang, dengan kadar pengangguran berpotensi kekal rendah, didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil, peningkatan permintaan tenaga kerja, serta pemulihan sektor utama seperti Perkhidmatan dan Pembuatan.

"Secara keseluruhan, pasaran buruh negara berada pada landasan yang kukuh dan diramal mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh lebih sedekad, sekiranya momentum semasa dapat dikekalkan dan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan,” katanya.- Bernama 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh mendorong pasaran buruh untuk kekal stabil pada Ogos 2025 dengan bilangan penganggur menurun kepada 520,000 orang
  • Penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17.51 juta orang dengan kadar penyertaan naik 0.1 peratus kepada 70.9 peratus
  • Bilangan penduduk bekerja pada Ogos bertambah sebanyak 0.2 peratus kepada 16.99 juta orang
  • Majoriti penduduk bekerja pada Ogos 2025 adalah dalam kategori pekerja, menunjukkan peningkatan 0.2 peratus kepada 12.73 juta orang
  • Guna tenaga dalam sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan kukuh, dengan sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan, Pengkuarian serta Pertanian juga menunjukkan trend peningkatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!