Kes anak Rafizi: Keputusan NFA bergantung siasatan polis – Saifuddin

KULIM - Keputusan sama ada siasatan kes serangan terhadap anak Datuk Seri Rafizi Ramli diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) bergantung sepenuhnya kepada perkembangan siasatan dan petunjuk baharu yang ditemui polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tugas hakiki Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah menjalankan siasatan secara profesional.
Menurutnya siasatan dilakukan secara berterusan berdasarkan laporan yang diterima tanpa sebarang campur tangan pihak luar.
“Apabila berlaku sesuatu insiden dan laporan dibuat, tugas polis adalah menjalankan siasatan. Siasatan itu akan dilakukan sepanjang masa dan perkembangannya bergantung kepada petunjuk baharu yang ditemui.

“Sama ada kes itu diklasifikasikan sebagai NFA atau sebaliknya, saya serahkan kepada profesionalisme pasukan polis,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas ditemui selepas majlis penyerahan bantuan wang ihsan fasa 2 di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park di sini.
Menurut Saifuddin Nasution, pihaknya tidak bercadang mengeluarkan sebarang arahan bersifat konklusif terhadap status siasatan kes berkenaan kerana ia boleh dianggap sebagai campur tangan sekiranya polis menemukan petunjuk baharu pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap insiden yang menimpa anak kepada bekas Menteri Ekonomi itu dan memaklumkan beliau telah menghubungi Rafizi bagi bertanya khabar selepas kejadian berlaku.
Pada Jumaat, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dilaporkan bersedia mengusulkan kepada kerajaan dan pihak berkuasa supaya siasatan kes serangan terhadap anaknya dihentikan sekiranya tiada perkembangan selepas memasuki bulan keenam.
Beliau berkata, satu surat akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri serta PDRM bagi memohon supaya siasatan dihentikan sekiranya tiada kemajuan dalam tempoh terdekat.
Rafizi turut menyatakan kesediaannya menerima sekiranya kes itu berakhir tanpa sebarang tindakan lanjut, memandangkan beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
Terdahulu, pada 13 Ogos lalu, Rafizi mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira jam 2 petang.
Polis mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut namun kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

