Remaja 13 tahun derita hidap kanser otak

Nur Iman Syamimi minum menggunakan botol susu dan perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa.
Nur Iman Syamimi minum menggunakan botol susu dan perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa.
A
A
A

JITRA - Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun kini menjalani kehidupan seperti kanak-kanak selepas disahkan menghidap kanser otak tahap empat yang menjejaskan fungsi saraf dan keupayaan fizikalnya.

Nur Iman Syamimi Muhammad Shauki yang sebelum ini aktif, namun kini hanya mampu terlantar, tidak boleh berjalan, hilang penglihatan, bercakap tidak fasih, minum menggunakan botol susu dan perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa.

Ibunya, Sharifah Noraliza Sharif Nordin, 38, berkata, perubahan drastik anak sulung daripada tiga beradik itu mula dikesan sejak Januari lalu apabila kerap tiada selera makan dan berjalan dalam keadaan tidak stabil.

“Dia pegang cawan pun terketar-ketar. Kalau makan makanan berangin, dia akan mengadu sakit. Saya bawa dia ke klinik swasta, tapi hanya diberi ubat gastrik.

“Keadaan tidak berubah, jadi saya bawa dia ke klinik kerajaan. Doktor syak dia ada masalah tiroid,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepala Bukit, Mukim Padang Perahu di sini.


Zuraini (kanan) melihat keadaan Nur Iman Syamimi semasa menziarahinya di Kampung Kepala Bukit, Mukim Padang Perahu, Jitra.
Zuraini (kanan) melihat keadaan Nur Iman Syamimi semasa menziarahinya di Kampung Kepala Bukit, Mukim Padang Perahu, Jitra.

Dia berkata demikian semasa ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menyampaikan sumbangan susu khas, wang tunai, barangan keperluan dapur serta katil bagi keselesaan Nur Iman Syamimi.

Jelas Sharifah Noraliza, keadaan anaknya semakin merosot menjelang Ogos apabila penglihatannya mula kabur.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, doktor di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kemudian mengesan ketumbuhan dan cecair dalam otaknya selepas menjalani imbasan CT Scan.

“Dia jalani pembedahan masukkan tiub bagi keluarkan cecair, tapi selepas sebulan tiub itu tersumbat dan perlu diganti. Selepas pembedahan keempat, doktor sahkan dia hidap kanser otak tahap empat,” ujarnya.

Zuraini (dua kanan) menyampaikan sumbangan susu khas, wang tunai, barangan keperluan dapur serta katil pesakit bagi keselesaan Nur Iman Syamimi.
Zuraini (dua kanan) menyampaikan sumbangan susu khas, wang tunai, barangan keperluan dapur serta katil pesakit bagi keselesaan Nur Iman Syamimi.

Nur Iman Syamimi hanya sempat bersekolah selama tiga bulan di Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Dewa sebelum terpaksa menangguhkan persekolahan akibat keadaan kesihatannya.

Kata Sharifah Noraliza, Suaminya, Muhammad Shaukhi Ghazali, 43, hanya bekerja menjual kelapa, manakala dia sendiri seorang suri rumah.

"Untuk keperluan Nur Iman Syamimi, empat pek lampin pakai buang diperlukan sebulan, manakala satu tin besar susu formula khas hanya bertahan empat hari,” jelasnya yang mengakui terkesan dari segi kewangan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 09010020561955 atas nama Sharifah Noraliza Sharif Nordin.

Ringkasan AI

  • Remaja perempuan berusia 13 tahun menghidap kanser otak tahap empat yang mempengaruhi fungsi saraf dan keupayaan fizikal
  • Nur Iman Syamimi tidak dapat berjalan, hilang penglihatan dan perlu memakai lampin serta minum menggunakan botol susu
  • Perubahan pada Nur Iman Syamimi mula dikesan selepas kerap tiada selera makan dan berjalan tidak stabil
  • Doktor di Hospital Sultanah Bahiyah mengesan ketumbuhan dalam otak setelah menjalani imbasan CT Scan dan mengesahkan dia menghidap kanser otak tahap empat
  • Keluarga terjejas dari segi kewangan kerana perlu menyediakan lampin pakai buang dan susu formula khas untuk Nur Iman Syamimi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!