Syarikat upah 41 PATI diserbu

SEREMBAN - Tindakan sebuah syarikat pengurusan bahan sisa terjadual di sini yang memilih jalan mudah menggajikan lebih 40 warga asing tanpa dokumen sah terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan.
Serbuan pada Rabu itu dilakukan susulan aduan awam berhubung kehadiran warga asing yang disyaki secara tidak sah.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kenneth Tan Ai Kiang berkata, seramai 120 pekerja warga asing di syarikat terbabit telah diperiksa.
"Namun, seramai 41 pendatang tanpa izin (PATI) berusia antara 21 hingga 49 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen.
"Mereka terdiri daripada 36 lelaki Bangladesh, dua lelaki Nepal dan tiga lelaki Pakistan," katanya.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan adalah di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, ada antara PATI tersebut yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), namun ditahan kerana menyalahgunakan pas itu dengan bekerja dalam sektor yang berbeza daripada yang dinyatakan dalam PLKS.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Selain tindakan terhadap PATI, kami juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi PATI, termasuk pendakwaan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Ringkasan AI
- Serbuan Jabatan Imigresen Malaysia di Negeri Sembilan terhadap syarikat pengurusan bahan sisa membuahkan hasil dengan penahanan 41 warga asing tanpa dokumen sah
- Seramai 120 pekerja warga asing diperiksa dalam serbuan tersebut
- Pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Pakistan
- Beberapa pendatang tanpa izin mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara tetapi bekerja di sektor yang tidak sesuai dengan PLKS
- Majikan atau individu yang menggaji pendatang tanpa izin akan diambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

