Imigresen Johor tahan 26 warga asing tiada permit sah

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 26 warga asing hasil serbuan di beberapa institusi pendidikan dan premis perniagaan sekitar bandar raya ini pada Jumaat.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Nepal, dua lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Indonesia, tiga lelaki warga Pakistan, tiga lelaki warga Myanmar, seorang wanita China dan 12 wanita Indonesia berusia antara 17 hingga 63 tahun.
“Dalam serbuan yang melibatkan 35 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor itu, kami turut menahan dua lelaki warga tempatan yang merupakan pengurus premis perniagaan terbabit.
“Operasi ini dilaksanakan susulan maklumat awam serta risikan yang mendapati warga asing tersebut bekerja dan tinggal di negara ini tanpa memiliki permit atau pas yang sah.

“Secara keseluruhannya, dalam Ops Selera, Ops Belanja dan Ops Kutip, seramai 67 warga asing dan warga tempatan telah diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Mohd Rusdi, semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Katanya, mereka juga dikesan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal di Malaysia selepas pas atau permit tamat atau dibatalkan, selain melanggar Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) serta Peraturan 39(b) peraturan sama kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Dua warga tempatan yang ditahan pula disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing,” katanya.
Mohd Rusdi menegaskan JIM Johor akan terus memperkasakan penguatkuasaan bagi membanteras warga asing yang melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan imigresen.
“Jabatan ini juga akan memerangi serta tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis dan mana-mana individu yang menggajikan atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
