Pembalakan didakwa punca banjir dahsyat Indonesia

SUMATERA – Kemarahan penduduk memuncak apabila tragedi banjir besar dan tanah runtuh di Sumatera yang meragut lebih 700 nyawa setakat Rabu dikaitkan dengan kegiatan pembalakan dan penggondolan hutan yang berleluasa sejak beberapa dekad lalu.
Reliwati Siregar, penduduk tempatan yang kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara, menunjuk kepada wartawan Reuters arah kawasan hutan yang digondol berhampiran rumahnya sambil menzahirkan rasa kesal.
“Tangan-tangan jahat menebang pokok, mereka tidak peduli pada hutan, dan kini kami menanggung akibatnya,” kata wanita berusia 62 tahun itu.
Beliau berkata, tanah runtuh menimbus rumah, manakala banjir membawa arus kayu balak dan lumpur sehingga menyukarkan operasi menyelamat.
“Hujan sahaja tidak cukup untuk menghanyutkan kayu sebanyak ini,” katanya tegas.
Kematian melebihi 1,300 di tiga negara
Taufan yang terbentuk di Selat Melaka minggu lalu telah memberi kesan kepada Indonesia, Malaysia dan Thailand, menyebabkan lebih 1,300 korban. Namun pakar alam sekitar berkata, kadar kemusnahan di Sumatera jauh lebih tinggi kerana puluhan tahun penebangan hutan.
Gus Irawan Pasaribu, pemimpin wilayah di Tapanuli, menyatakan bahawa jika hutan di kawasan hulu dipelihara dengan baik, kesannya mungkin tidak sebegitu dahsyat.
“Faktor siklon memang ada, tetapi jika hutan kita terjaga, tragedi ini tidak akan seteruk ini,” katanya.
Beliau turut mendedahkan telah membantah kelulusan lesen pembersihan hutan kepada kerajaan pusat, namun aduannya tidak diendahkan.

Siasatan pembalakan haram dan lombong
Media tempatan melaporkan pejabat Peguam Negara kini mengetuai siasatan khas untuk menentukan sama ada aktiviti haram seperti pembalakan tanpa lesen menyumbang kepada bencana tersebut.
Kementerian Alam Sekitar juga dilapor memanggil lapan syarikat yang terlibat dalam pembalakan, perlombongan dan ladang sawit.
Pemimpin tempatan Masinton Pasaribu pula menuding jari kepada pembukaan ladang kelapa sawit yang memusnahkan hutan semula jadi.
Pakar Perhutanan David Gaveau menyatakan pemanasan global adalah faktor utama banjir besar, namun penebangan hutan memberi kesan sampingan yang ketara.
Projek empangan dan perlombongan dipersoal
Kumpulan pemerhati alam sekitar Jaringan Advokasi Tambang (JATAM) mendakwa pembinaan empangan Batang Toru di Sumatera Utara yang dibiayai China menyumbang kepada kemusnahan ekosistem hulu sungai.
“Situasi ini bukan sekadar fenomena cuaca ekstrem, tetapi natijah langsung daripada kerosakan ekosistem hulu sungai akibat industri ekstraktif,” kata JATAM.
JATAM menyifatkan bencana itu sebagai kombinasi faktor semula jadi dan salah urus sumber oleh kerajaan.
Salah satu syarikat yang mempunyai lesen aktiviti di kawasan itu ialah PT Agincourt Resources, pengendali lombong emas Martabe.
Syarikat itu menolak dakwaan kaitan langsung antara operasi mereka dan banjir besar, menyatakan ia kesimpulan yang 'pramatang dan tidak tepat'.
Namun penduduk tempatan melaporkan jumlah kayu balak yang hanyut jauh lebih banyak berbanding biasa.
INFO
Global Forest Watch melaporkan bahawa:
Sumatera Utara kehilangan 1.6 juta hektar litupan pokok antara 2001–2024, manakala
Sumatera secara keseluruhan kehilangan 4.4 juta hektar hutan, lebih besar daripada keluasan Switzerland. - Agensi
Ringkasan AI
- Kemarahan penduduk Sumatera bertambah akibat banjir besar dan tanah runtuh yang meragut lebih 700 nyawa disebabkan pembalakan dan penggondolan hutan
- Tragedi ini juga berdampak pada negara jiran, dengan jumlah korban di Indonesia, Malaysia, dan Thailand melebihi 1,300 orang
- Pakar dan pemimpin tempatan menyatakan keadaan ini mungkin tidak terjadi jika hutan hulu terpelihara dengan baik
- Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan keterlibatan aktiviti haram seperti pembalakan tanpa lesen dalam bencana ini
- Projek empangan dan aktiviti perlombongan yang dibiayai asing di Sumatera Utara disalahkan kerana menyumbang kepada kemusnahan ekosistem hulu sungai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

