Rayuan pendakwaan kes bunuh bekas CEO Cradle Fund didengar 5 Januari depan

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan tiga hari bermula 5 Januari tahun depan untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja yang didakwa membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan.
Muhammad Farhan Muhammad Shafee, seorang daripada peguam yang mewakili Samirah dan remaja terbabit berkata mahkamah menetapkan 5, 7 dan 9 Januari 2026 untuk mendengar rayuan itu.
Tarikh asal pendengaran rayuan itu yang ditetapkan pada 10, 11 dan 12 November telah dilapangkan.
Pada 8 Februari 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.
Mahkamah Tinggi pada 21 Jun 2022, membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja tanpa dipanggil membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Samirah, 50, yang juga balu Nazrin, kedua-dua remaja, kini berusia 22 dan 19 tahun serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi esoknya.
Ketika mengekalkan pembebasan mereka, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tiada keterangan yang mencukupi untuk membuktikan bahawa mereka bersalah.
Mahkamah Rayuan turut memutuskan bahawa tiada keterangan yang mencukupi bagi membuktikan bahawa kebakaran yang berlaku adalah disengajakan kerana terdapat bukti bercanggah daripada pihak Jabatan Kimia dan penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mahkamah Rayuan turut memutuskan testimoni mengenai petrol dan analisis yang dibuat ke atasnya tidak menggunakan kaedah yang diperakui dan penyiasat meninggalkan langkah-langkah penting untuk menganalisis petrol. - Bernama
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan menetapkan tiga hari bermula 5 Januari depan untuk mendengar rayuan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja dari tuduhan membunuh Nazrin Hassan
- Tarikh pendengaran rayuan asal pada 10, 11 dan 12 November telah dilapangkan
- Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan pada 8 Februari 2024
- Samirah dan kedua-dua remaja dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Jun 2022 kerana pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie
- Mahkamah Rayuan mendapati tiada keterangan cukup untuk membuktikan mereka bersalah, termasuk tiada bukti kukuh bahawa kebakaran yang berlaku disengajakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
