Kes Jahidah: Bekas suami kekal ke penjara, pelaksanaan hukuman dibenar tangguh

A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Rosmaini Abdul Raof, 42, yang menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin @ Sylvester, 47, sehingga koma empat tahun lalu.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad sebelum itu menolak permohonan yang dikemukakan oleh Rosmaini terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 9 Disember tahun lalu.

Dalam prosiding sama, Atan Mustaffa turut menolak permohonan silang yang dibuat oleh pihak pendakwaan terhadap tempoh hukuman penjara yang dikenakan ke atas lelaki berkenaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi itu berkata bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menentukan Saksi Pendakwaan 1 (SP1), iaitu rakan tertuduh, sebagai saksi yang dipercayai.

Rosmaini (tengah) ketika tiba di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Selasa.
Rosmaini (tengah) ketika tiba di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Selasa.

“Kemunculan dua eksibit D45 (laporan polis) dan D47 (surat akuan berkanun) yang diragui itu hanya dikemukakan selepas tertuduh (Rosmaini) dipanggil membela diri, dan sepanjang perbicaraan selama lebih dua tahun, ‘versi baharu’ ini tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana saksi pendakwaan.

“Tertuduh juga satu-satunya individu yang mempunyai akses ke apartmen (lokasi kejadian), dan tertuduh turut mengaku kepada SP1 bahawa dia ada memukul isterinya menggunakan tangan.

“Berdasarkan laporan perubatan, mangsa mengalami kecederaan parah pada otak dan memerlukan pembedahan, selain tertuduh cuba melarikan diri ketika ditahan polis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Atan Mustaffa yang turut menolak permohonan silang oleh pihak pendakwaan, menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi tidak akan mencampuri keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen berkenaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu dan Umar Faiz Abdul Kohar, manakala Rosmaini diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar, Muhammad Nor Tamrin dan Nurainaa Kamilah Zalizan.

Muhammad Nor kemudian memohon perintah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara pihaknya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut, namun jumlah jaminan ditingkatkan daripada RM15,000 kepada RM25,000, dengan dua syarat jaminan sedia ada dikekalkan iaitu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Sebelum itu, Rosmaini sempat dipenjarakan selama 79 hari selepas Mahkamah Sesyen mensabitkannya bersalah pada 9 Disember tahun lalu.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan tersebut pada akhir pembelaan kes terhadap Rosmaini selepas perbicaraan berlangsung selama tiga tahun dengan 11 saksi pendakwaan dipanggil.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isteri ketiganya itu.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki ke belakang badan isterinya sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan asal.

Kes Jahidah pernah menggemparkan negara kerana wanita itu dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.

Jahidah, yang merupakan bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan, menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail, secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kini disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Pada 15 Mac 2024, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan oleh keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.

 

Artikel berkaitan:  Jahidah masih terlantar, anak kini berstatus OKU

Keputusan kes Jahidah ditangguh, bekas suami alami sesak nafas

'Jika 2024 dia boleh berjalan, tahun 2025 pula saya harap dia boleh bercakap'

Kes Jahidah: Rosmaini dibenar tangguh hukuman penjara 10 tahun

'Keluarga reda, Jahidah kini ibarat mayat hidup'

Ringkasan AI

  • Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan hukuman 10 tahun penjara terhadap seorang peniaga atas kecederaan parah bekas isteri
  • Hakim Atan Mustafa Yusoff Ahmad menolak rayuan Rosmaini Abd Raof
  • Penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menanti rayuan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya
  • Syarat penangguhan termasuk jaminan bercagar RM25,000 dan laporan bulanan di balai polis
  • Jahidah Nordin mengalami koma akibat kecederaan empat tahun lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!