Sindiket jual vape campur dadah masuk perangkap polis

SHAH ALAM - Kegiatan pengedaran rokok elektronik (vape) bercampur dadah dibongkarkan pihak berkuasa menerusi serbuan sebuah stor dengan nilai rampasan bahan terlarang berjumlah RM3.04 juta di Klang pada 27 November lalu.
Serbuan kira-kira jam 2 petang itu dijalankan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tiga lelaki tempatan berusia 33 hingga 49 tahun dipercayai berperanan sebagai penjual, penjaga stor dan pembungkus telah ditahan.
Menurutnya, polis telah merampas 2,068 katrij, 550 pod dan 240 botol berisi cecair vape disyaki campuran dadah jenis ketamin dengan anggaran isi padu 61 liter.

"Siasatan mendapati, vape berisi dadah itu dipercayai untuk pasaran seluruh negara dan dijual secara terbuka.
"Sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu dipercayai memperolehi bekalan yang siap diproses daripada pembelian secara online yang dihantar menggunakan kurier sebelum penjualan semula dibuat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.
Beliau berkata, berdasarkan analisis penggunaan dadah, keseluruhan cecair vape campuran ketamin yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 12,200 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira 5 mililiter (ml) setiap seorang.

Katanya lagi, kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk tindakan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan awal mendapati, suspek diupah sekitar RM1,500 sehingga RM2,000 sebulan selain bayaran komisen berdasarkan keuntungan," ujarnya.
Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 selepas sitaan tiga kereta iaitu Honda CRV, Perodua Bezza dan Kelisa selain lima item barang kemas dengan nilai keseluruhani RM134,800.
Tegas Shazeli, polis mengalu-alukan maklumat jenayah terutama dadah dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah selaras dengan slogan 'perangi dadah, lindungi generasi'.
Ringkasan AI
- Kegiatan pengedaran rokok elektronik (vape) bercampur dadah terbongkar di Klang dengan rampasan bernilai RM3.04 juta
- Tiga lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai penjual, penjaga stor dan pembungkus ditahan
- Polis merampas 2,068 katrij, 550 pod dan 240 botol cecair vape disyaki campuran dadah jenis ketamin
- Sindiket aktif sejak enam bulan lalu memperolehi bekalan vape bercampur dadah menerusi pembelian online
- Cecair vape campuran ketamin yang dirampas boleh dibekalkan kepada 12,200 pengguna dalam sehari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
