Pihak Berkuasa Palestin terima sokongan AS$90 juta daripada Arab Saudi

LONDON - Pihak Berkuasa Palestin pada Isnin menerima AS$90 juta daripada Arab Saudi sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan itu menyokong pentadbiran Palestin.
Dana tersebut diserahkan oleh Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa yang juga pemangku Menteri Kewangan, Estephan Salameh, di ibu pejabat Kedutaan Arab Saudi di Amman.
Penyerahan dilakukan semasa pertemuan dengan Duta Arab Saudi ke Jordan merangkap utusan tidak tetap ke Palestin, Putera Mansour bin Khalid bin Farhan Al-Saud.
Menurut agensi berita Wafa, Salameh menzahirkan penghargaan kepada Arab Saudi atas sokongan kewangan dan politik terhadap hak rakyat Palestin serta usaha menubuhkan sebuah negara merdeka.
Putera Mansour pula menekankan peranan Arab Saudi sebagai pengerusi bersama bersama Perancis dalam persidangan antarabangsa berprofil tinggi di New York yang menyokong perjuangan Palestin dan pelaksanaan penyelesaian dua negara.
Dalam persidangan yang berlangsung September lalu, beberapa negara termasuk United Kingdom, Perancis, Australia dan Kanada mengiktiraf kenegaraan Palestin.
Beliau menjelaskan, dana tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kepimpinan Arab Saudi untuk membantu kerajaan Palestin memenuhi tanggungjawab kewangan.
Putera Mansour turut menegaskan sokongan berterusan untuk memperkukuh ketahanan rakyat Palestin serta membangunkan sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan, lapor Wafa.
Terdahulu, pada September, Arab Saudi mengumumkan pelancaran pakatan antarabangsa kecemasan bagi menyalurkan dana terus kepada Pihak Berkuasa Palestin dan berjanji menyumbang AS$90 juta. - Agensi/Awani
Ringkasan AI
- Arab Saudi menyumbang AS$90 juta kepada Pihak Berkuasa Palestin sebagai sebahagian daripada komitmen menyokong pentadbiran Palestin
- Dana diserahkan oleh Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin di Kedutaan Arab Saudi di Amman
- Putera Mansour bin Khalid bin Farhan Al-Saud menekankan peranan Arab Saudi dalam persidangan antarabangsa yang menyokong perjuangan Palestin
- Dana tersebut bertujuan membantu kerajaan Palestin memenuhi tanggungjawab kewangan dan memperkukuh ketahanan rakyat Palestin
- Arab Saudi juga berperanan sebagai pengerusi bersama dalam persidangan di New York yang menyokong penyelesaian dua negara dan kenegaraan Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
