Peruntukan tambahan RM1 bilion tangani Covid-19

Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid-19. - Foto Bernama
Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid-19 termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan lebih banyak ujian Covid-19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta.

Katanya, ia bagi menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta.

Di samping itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak berkenaan.

Isnin lepas, kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta kepada KKM dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 antaranya bagi membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan.

Muhyiddin berkata, sebagai menghargai pengorbanan doktor, jururawat dan kakitangan perubatan pula, kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir.

“Dalam pakej rangsangan ekonomi yang pertama, kerajaan telah bersetuju memberikan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak ini.

“Saya sedar dalam situasi getir pada waktu ini, kakitangan kesihatan kita sedang bekerja bertungkus lumus dalam keletihan dan keadaan yang agak tertekan. Namun, mereka terus cekal berjuang mengharungi cabaran yang hebat ini,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam serta Rela yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dan akan dibayar mulai 1 April ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan bersetuju memanjangkan inisiatif mySalam kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).

Pada masa ini, mySalam menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan Covid-19.

Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari. - Bernama