Seminggu hilang, keluarga rayu Arissa pulang

PUCHONG – “Saya risau sebab dia baru 16 tahun, di bawah jagaan keluarga. Kalau jadi apa-apa, memang kami susah hati.”
Demikian luah Siti Hawa Noor Aini, 34, selepas adik angkatnya, Arissa Ilmi Asrar Abdul Haq, 16, dilaporkan hilang sejak tujuh hari lalu.
Arissa merupakan anak angkat kepada pasangan warga emas, Noridah Idris dan Asrar Rosdi, kedua-duanya berusia 69 tahun yang telah menjaganya sejak berusia dua tahun dan menganggapnya seperti anak kandung.
Menurut Siti Hawa, kehilangan remaja itu disedari kira-kira jam 3 pagi pada 24 November lalu di Kampung Pasir Baru, Batu 13 ½, Jalan Puchong.
“Dia tidak ke sekolah minggu lepas kerana kelasnya digunakan untuk pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), jadi dia banyak berada di rumah.
“Kami mengesyaki dia keluar senyap-senyap. Kami cuba cari sendiri, tapi hingga kini belum ditemui,” katanya.
Jelas Siti Hawa, laporan polis hanya dibuat selepas tiga hari usaha mengesan Arissa secara persendirian tidak berhasil.
“Tahun lepas pun dia pernah hilang dan kami buat laporan polis juga. Tapi masa itu dia balik semula. Kali ini, dia langsung tak pulang,” ujarnya.
Tambahnya, Arissa sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada keluarga beberapa hari selepas dilaporkan hilang, memaklumkan bahawa dia berada di sekitar Cheras.
“Kami pergi ke lokasi yang dia maklumkan, iaitu kawasan rumah kedai, tapi tak jumpa langsung.
“Dia kata dia berada dengan kawan, tapi saya pun tak pasti sama ada kawannya lelaki atau perempuan,” katanya.
Menurutnya lagi, suaminya bersama beberapa ahli keluarga bergegas ke lokasi tersebut sekitar jam 12 tengah malam, namun Arissa tidak ditemui.
Siti Hawa turut menafikan wujud sebarang perselisihan faham dalam keluarga sebelum kehilangan Arissa.
“Tiada apa-apa yang berlaku. Kami layan dia seperti anak sendiri. Itu yang buat kami pelik, kenapa dia tak balik,” katanya.
Dia berkata, Arissa tinggal bersama ibu dan bapa angkatnya sejak kecil, bersama seorang lagi adik kandung.
“Bukan mudah bila anak bawah umur hilang. Kami hanya mahu dia pulang dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan Arissa pada 27 November lalu kira-kira jam 7.32 malam.
Menurutnya, remaja berketurunan Indonesia itu kali terakhir dilihat berada di rumah keluarganya sebelum didapati menghilangkan diri.
“Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan dan polis turut mengambil keterangan saksi bagi membantu siasatan,” katanya.
Polis turut mengeluarkan butiran fizikal Arissa bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti remaja berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Norhapizah Zulkapli di talian 017-2340141.
Ringkasan AI
- Arissa Ilmi Asrar, 16 tahun, dilaporkan hilang sejak tujuh hari lalu di Puchong
- Arissa adalah anak angkat kepada pasangan warga emas, Noridah Idris dan Asrar Rosdi
- Kehilangan Arissa disedari pada 24 November di Kampung Pasir Baru, Batu 13½, Jalan Puchong
- Laporan polis dibuat setelah usaha mencari Arissa secara persendirian selama tiga hari tidak berjaya
- Arissa sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada keluarga, mengatakan dia berada di sekitar Cheras
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

