'Saya tidak risau tentang apa-apa pun' - TMJ

Tunku Mahkota Ismail
Tunku Mahkota Ismail
A
A
A

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan baginda tidak berasa bimbang atau gentar dengan sebarang situasi yang sedang berlaku di sekelilingnya ketika ini.

Menerusi satu hantaran di Instagram, baginda menjawab persoalan ramai pihak yang bertanya bagaimana baginda boleh kekal tenang dalam menghadapi pelbagai isu semasa.

Menurut Tunku Mahkota Ismail, baginda berpegang teguh kepada prinsip dan keutamaan diri yang disifatkan jauh lebih penting daripada melayan percakapan orang lain.

"Baru-baru ini ramai orang bertanya kepada saya, bagaimanakah saya boleh begitu tenang dengan segala perkara yang sedang berlaku? Jawapan saya ialah, apakah perkara paling buruk yang boleh berlaku?

"Saya tidak risau tentang apa-apa pun. Saya mempunyai keutamaan dan prinsip tersendiri yang jauh lebih penting daripada orang yang bercakap perkara karut.

"Hari di mana seseorang boleh datang dan merampas kopi daripada tangan saya adalah hari yang sepatutnya saya risau," titah baginda.

Mengulas lanjut, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memberitahu, kekuatan baginda selama ini bersandar sepenuhnya kepada kepercayaan dan penyerahan diri kepada ALLAH.

Titah baginda, walaupun berdepan dengan keraguan, kebencian dan kempen memburuk-burukkan selama bertahun-tahun, baginda akhirnya tetap berada di pihak yang menang.

"Fahamilah ini, pembenci atau golongan yang tewas bergerak dalam kumpulan. Hanya mereka yang kuat berjalan bersendirian.

Artikel Berkaitan:

"Mereka membenci anda kerana anda terselamat daripada segala yang bertujuan untuk mematahkan semangat anda dan anda masih berdiri teguh. Kekuatan seumpama itu menakutkan mereka yang lemah," ujarnya.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail turut menyifatkan, setiap cabaran yang dihadapi adalah ketentuan ALLAH SWT yang merupakan sebaik-baik perancang.

"Pada akhirnya, segala sesuatu akan berakhir, manusia berubah, dan kehidupan diteruskan. Kerana sesetengah daripada kita tidak ditakdirkan untuk menjadi biasa-biasa sahaja.

"Kita dilahirkan untuk mencapai kehebatan, tanggungjawab dan mengharungi cabaran, berulang kali. Setiap cabaran membentuk legasi.

"Setiap pertempuran telah dimenangi sebelum ia diperjuangkan. Walaupun saya kalah, saya menang. Ia telah tertulis. Ia adalah takdir," titah baginda lagi.

Ringkasan AI

  • Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail tidak bimbang atau gentar dengan isu semasa
  • Baginda menjawab soalan tentang kekal tenang dengan prinsip dan keutamaan diri yang penting
  • Menyifatkan kekuatan bersandar kepada kepercayaan dan penyerahan diri kepada ALLAH
  • Menghadapi keraguan, kebencian dan kempen negatif namun akhirnya berada di pihak menang
  • Setiap cabaran adalah ketentuan ALLAH dan membentuk legasi serta takdir individu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!