Tak puas hati isu pembahagian harta, anak tetak ibu bapa dan adik sampai mati

VARANASI – Seorang lelaki tergamak membunuh ibu bapa dan adik perempuannya dengan kapak sebelum melarikan diri dalam satu kejadian menggemparkan di Kampung Diliya, daerah Ghazipur, negeri Uttar Pradesh, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Ghazipur, Iraj Raja, suspek dikenali sebagai Abhay Yadav, 40, telah menetak mati bapanya Shivram Yadav, 65; ibunya Jamuni Devi, 60; dan adik perempuannya Kusum Devi, 36; di kediaman mereka yang terletak dalam kawasan Balai Polis Kotwali.
Siasatan awal mendapati pembunuhan berpunca daripada pertikaian berkaitan harta pusaka, selepas Shivram dikatakan telah memindahkan sebahagian hartanya kepada anak perempuan, yang menimbulkan kemarahan Abhay.

“Selepas kejadian, suspek terus melarikan diri dan kami telah menggerakkan tiga pasukan khas untuk memburunya,” kata Iraj.
Penduduk kampung yang terdengar jeritan mangsa pada awal pagi segera bergegas ke rumah Shivram, namun suspek telah pun melarikan diri. Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam rumah.
Pasukan forensik telah dihantar ke lokasi kejadian untuk mengumpul bahan bukti, manakala ketiga-tiga mayat dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat.
Difahamkan, hubungan antara Abhay dan ahli keluarganya semakin tegang sejak hartanah berkenaan dipindahkan kepada adik perempuannya. Dia sering bertengkar dengan ibu bapanya serta adiknya berhubung perkara itu.
Pihak polis yakin Abhay akan diberkas dalam masa terdekat dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar segera tampil membantu siasatan.
Kes ini menambah kepada siri pembunuhan kejam melibatkan konflik kekeluargaan di Uttar Pradesh. Awal bulan ini, polis menahan seorang wanita bernama Reena, ibu kepada sembilan anak, bersama kekasihnya Hanif atas tuduhan membunuh suami Reena, Ratiram.
Siasatan mendapati pasangan itu merancang pembunuhan selepas Ratiram menentang hubungan sulit mereka. Mereka dikatakan telah memancing mangsa ke sebuah kawasan hutan, membunuhnya dan membuang mayat ke dalam perigi. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

