Pulau Pinang lokasi utama transit jenayah rentas sempadan - Maritim Malaysia

Mohd Zawawi (dua dari kiri) bersama Linda bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) selepas Majlis Penutup Operasi Redback 21/2025.
Mohd Zawawi (dua dari kiri) bersama Linda bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) selepas Majlis Penutup Operasi Redback 21/2025.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kedudukan Pulau Pinang yang berhampiran Indonesia menjadikan negeri ini antara lokasi transit utama sindiket jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan migran, dadah dan aktiviti lain.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, jarak geografi yang dekat serta kedudukan Malaysia yang berada ‘di tengah-tengah’ laluan serantau menjadikan kawasan berkenaan sering dijadikan hentian sebelum sindiket meneruskan perjalanan ke negara lain.

“Pulau Pinang ini dengan negara jiran Indonesia tidak jauh. Jadi ia menjadi salah satu hab atau stesen transit sebelum migran dibawa masuk atau dihantar keluar.

"Pulau Pinang merupakan kawasan dikenal pasti selain negeri lain di perairan Selat Melaka,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Operasi Redback 21/2025 di sini pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Komander Pemerintahan Sempadan Maritim, Australian Border Force (ABF), Linda Cappello.

Menurut Mohd Zawawi, Pulau Pinang bukan hanya menjadi laluan migran sebaliknya pelbagai aktiviti jenayah turut menggunakan negeri itu sebagai transit.

“Sindiket yang mahu ke Australia pun akan tumpang Malaysia dulu sebelum bergerak.

"Dadah juga sama, sama ada dibawa masuk melalui utara atau dihasilkan dalam negara untuk dihantar ke Indonesia atau Australia. Malaysia tetap jadi lokasi transit,” jelasnya.

Mengulas kawasan tumpuan sindiket di negeri ini, beliau berkata, antara laluan masuk yang dikenal pasti ialah di kawasan perairan Kuala Muda di utara serta kawasan sekitar Nibong Tebal dan Balik Pulai di selatan tanah besar.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikutkan, sindiket lebih suka terus ke tanah besar. Kalau ‘landing point’ dekat pulau, mereka akan berdepan pelbagai halangan termasuk pemeriksaan agensi penguat kuasa dan laluan jambatan.

"Sebab itu tangkapan dadah banyak dibuat di tanah besar,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Zawawi mengakui aset Maritim Malaysia di Pulau Pinang masih belum mencukupi memandangkan keluasan sebenar perairan negeri itu lebih besar daripada apa yang dilihat.

“Kalau nak kata mencukupi agak susah. Perairan Pulau Pinang nampak kecil tetapi sebenarnya luas dan turut mempunyai persempadanan dengan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sedang menilai keperluan menambah aset yang mempunyai keupayaan lebih tinggi bagi melakukan rondaan di sempadan.

“Kita dalam proses menilai aset lebih berkemampuan untuk diletakkan di Pulau Pinang, supaya rondaan di sempadan perairan dapat dibuat dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Tambah beliau, penambahan aset penting bagi menangani isu pencerobohan bot nelayan Indonesia ke perairan negara serta insiden nelayan tempatan ditangkap penguat kuasa asing.

“Kita akan menambah aset berkeupayaan tinggi untuk rondaan di sempadan bagi mengekang aktiviti jenayah dan melindungi nelayan negara,” katanya.

Mohd Zawawi menegaskan komitmen Maritim Malaysia untuk memperkukuh pengawasan di semua laluan strategik, termasuk Pulau Pinang yang terus menjadi sasaran sindiket rentas sempadan.

 

Ringkasan AI

  • Kedudukan Pulau Pinang berhampiran Indonesia menjadikannya lokasi transit utama bagi sindiket jenayah rentas sempadan
  • Pulau Pinang digunakan sebagai hab transit untuk penyeludupan migran, dadah, dan aktiviti jenayah lain
  • Sindiket jenayah memilih untuk menggunakan tanah besar sebagai 'landing point' untuk mengelak dari pemeriksaan agensi penguat kuasa
  • Aset Maritim Malaysia di Pulau Pinang masih tidak mencukupi untuk mengawal sempadan maritim dengan berkesan
  • Maritim Malaysia merancang untuk menambah aset dengan keupayaan lebih tinggi untuk meningkatkan pengawasan dan keselamatan di perairan Pulau Pinang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!