Anwar jawab nama kena 'petik' dikaitkan dengan Epstein

Anwar membuat hantaran ringkas di Facebook pada Ahad. Foto: Bernama
Anwar membuat hantaran ringkas di Facebook pada Ahad. Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan kononnya ada pihak luar yang ingin bertemunya kira-kira 14 tahun lalu dan cuba mengaitkan beliau dalam kes Jeffrey Epstein.

“Baru hari ini saya tahu ada pihak luar yang mahu bertemu dan siap ‘petik’ nama saya dalam emel melibatkan kes Epstein.

“Alhamdulillah, sudah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel tersebut dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas emel itu, apatah lagi Epstein (sambil memuat naik ikon reaksi menggelikan).

“Okey, saya nak sambung jalan-jalan di Johor Bahru #DoneExplain,” katanya secara berseloroh menerusi hantaran ringkas di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi dan Media Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Na’im Brundage menuntut penjelasan daripada Anwar sama ada beliau pernah berinteraksi dengan Epstein atau mana-mana individu yang terkandung dalam ‘Epstein Files’.

Na’im berkata, penjelasan juga perlu dibuat berhubung dakwaan potensi kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri yang dikatakan mempunyai peluang ‘gold mine’ kepada institusi kewangan asing.

Beliau menegaskan, pihaknya memandang serius pendedahan DOJ itu yang didakwa merekodkan perbincangan mengenai rancangan mengatur satu pertemuan peribadi antara pemangsa seksual terkenal tersebut dengan Anwar pada 2012.

Menurutnya, dokumen dengan kod rujukan EFTA00929772 itu merekodkan perbualan antara Epstein, yang telah disabitkan kesalahan di Amerika Syarikat (AS), dengan seorang kenalan yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Anwar.

Dalam hantaran berasingan, Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan beliau sempat mengunjungi Zoo Johor sebaik tiba di Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

“Saya turut beramah mesra serta menyantuni pengunjung, selain menerima penerangan mengenai perkembangan semasa zoo ini.

“Semoga Zoo Johor terus diperkasa sebagai aset rekreasi, pendidikan dan warisan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan berkaitan interaksi dengan Jeffrey Epstein
  • Hari ini pertama kali Anwar dimaklumkan ada pihak luar ingin bertemu berkaitan kes Epstein
  • Anwar mengaku tiada kaitan dengan mana-mana pihak dalam emel yang disebut dan langsung tiada hubungan dengan Epstein
  • Pengarah Komunikasi dan Media Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia menuntut penjelasan dari Anwar tentang interaksi dengan Epstein
  • Anwar sempat berkunjung ke Zoo Johor dan menyatakan harapan agar Zoo Johor terus diperkasa sebagai aset rekreasi, pendidikan dan warisan negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!