APM Pulau Pinang hantar satu kontena barangan keperluan untuk mangsa banjir di Perlis

Lokman Hakim (tengah) bersama rakan NGO dan badan korporat bergambar bersama kontena yang akan menghantar barangan misi bantuan banjir ke Perlis, pada Jumaat.
Lokman Hakim (tengah) bersama rakan NGO dan badan korporat bergambar bersama kontena yang akan menghantar barangan misi bantuan banjir ke Perlis, pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang menghantar satu kontena barangan keperluan dalam misi bantuan banjir ke Perlis susulan bencana yang disifatkan antara terburuk dalam tempoh lebih 15 tahun.

Pengarah Angkatan APM Pulau Pinang, Kolonel (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman berkata, misi berkenaan dicetus oleh Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Datuk Kamarul Haizal Koderat dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan serta korporat.

Menurutnya, misi itu sebagai tanda solidariti serta sokongan penduduk SPT kepada mangsa banjir di Perlis yang kini berdepan situasi getir.

"Walaupun kita tidak dapat turun secara fizikal, barangan bantuan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa yang terkesan.

"Antara barangan dihantar termasuk 10,000 botol air mineral, air kotak, lampin pakai buang, makanan kering, peralatan kebersihan diri dan pelbagai keperluan lain sesuai situasi banjir," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pelepasan misi bantuan banjir ke Perlis di pekarangan Masjid Tengah, Jalan Berapit, pada Jumaat.

Lokman Hakim (tiga dari kanan) membuat pelepasan misi bantuan banjir ke Perlis di Masjid Tengah, Jalan Berapit pada Jumaat.
Lokman Hakim (tiga dari kanan) membuat pelepasan misi bantuan banjir ke Perlis di Masjid Tengah, Jalan Berapit pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua barangan keperluan itu hasil sumbangan orang awam serta pihak korporat dianggarkan bernilai RM80,000 dikumpulkan dalam tempoh lima hari sejak Isnin lalu.

Katanya, misi kali ini melibatkan empat anggota APM yang menyertai konvoi menghantar bantuan bersama kakitangan Pejabat Daerah SPT serta wakil NGO.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya juga merancang melaksanakan misi susulan termasuk program pembersihan pascabanjir dan gotong-royong apabila air mulai surut.

Sementara itu, mengulas kesiapsiagaan APM bagi menghadapi cuaca yang tidak menentu di Pulau Pinang, beliau berkata, semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kini berada pada tahap siaga 24 jam.

Beliau berkata, daerah SPT dan Seberang Perai Utara dikenal pasti antara kawasan berisiko menerima limpahan air berikutan aliran sungai utama dari Kedah.

"Setakat ini, lebih 600 anggota APM di seluruh Pulau Pinang berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan sekiranya berlaku kecemasan atau insiden berkaitan bencana," tambahnya.

Ringkasan AI

  • Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pulau Pinang telah menghantar satu kontena barangan keperluan ke Perlis sebagai bantuan banjir
  • Misi bantuan tersebut diketuai oleh Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah dengan kerjasama NGO dan korporat
  • Barangan yang dihantar termasuk 10,000 botol air mineral, air kotak, lampin pakai buang, makanan kering dan peralatan kebersihan
  • Keseluruhan sumbangan bernilai RM80,000 dan dikumpulkan dalam masa lima hari
  • APM juga merancang untuk melakukan misi pembersihan dan gotong-royong pascabanjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!