Kes keganasan terhadap wanita membimbangkan – Nancy

LANGKAWI - Kes keganasan terhadap wanita di negara ini masih berada pada tahap yang membimbangkan meskipun pelbagai usaha dilakukan kerajaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, statistik terkini yang dibentangkan Jawatankuasa Kerja Data Keganasan Rumah Tangga sehingga Jun 2025 menunjukkan lima negeri terus mencatat jumlah kes tertinggi iaitu Selangor, Perak, Johor, Kedah dan Sabah.
“Ini realiti yang perlu kita akui. Keganasan terhadap wanita masih berlaku dan memerlukan tindakan bersama semua pihak, bukan hanya KPWKM,” katanya ketika melancarkan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) 2025 di Dataran Lang, di sini.

Menurutnya, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah melaksanakan 101 program advokasi dari Januari hingga Oktober tahun ini melibatkan lebih 74,397 peserta, selain program kesedaran di sekolah yang melibatkan hampir 4,000 pelajar.
Katanya, penganjuran program seumpama itu penting bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga dan gangguan seksual serta memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai cara melindungi diri.
“JPW juga telah memperkenal panduan Kit Keganasan Rumah Tangga (KRT) dengan nama Kit CeKaL yang membawa maksud Kit Tindakan Cemas, Kemas dan Lari pada 20 Ogos lalu.
“Kit ini merupakan sebuah beg yang disediakan lebih awal oleh mangsa sebagai persediaan untuk menyelamatkan diri dengan cepat apabila berlaku situasi yang berbahaya atau mengancam nyawa,” ujarnya.
Tanggungjawab bersama

Dalam majlis yang sama, Nancy turut menzahirkan kebimbangan berhubung peningkatan ketara kes gangguan seksual berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kes gangguan seksual meningkat dari 477 kes pada 2022, naik kepada 522 kes pada 2023 dan melonjak kepada 788 kes pada 2024. Lebih membimbangkan, sehingga Oktober 2025 sahaja, 872 kes direkodkan,” katanya.
Beliau menyeru masyarakat perlu lebih prihatin terhadap keadaan orang sekeliling, kerana kadangkala tindakan kecil mampu memberi impak besar.
“Satu soalan mudah, ‘Awak OK tak?’ boleh menyelamatkan nyawa. Keselamatan wanita adalah tanggungjawab kita semua,” tambah beliau.
Majlis EVAW di Langkawi turut menyaksikan ikon Burung Helang disinari cahaya warna oren sebagai tanda solidariti dan komitmen nasional terhadap usaha menamatkan keganasan terhadap wanita.

Dalam rangka lawatan ke pulau pelancongan itu, beliau turut merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan yang merupakan insiatif pencegahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu gangguan seksual.
Usaha itu adalah inisiatif pencegahan yang memberi tumpuan kepada pendidikan masyarakat tentang isu gangguan seksual di tempat kerja, institusi pendidikan dan komuniti.
Nancy juga mempengerusi Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Negara (MWKN) yang telah membentangkan hala tuju, dasar serta strategi berkaitan pemerkasaan wanita dan pembangunan keluarga.
Mesyuarat ini merupakan satu platform strategik yang membincangkan isu, mengemukakan nasihat serta syor berkaitan isu wanita serta keluarga bagi memastikan isu-isu berkepentingan yang dibincangkan, didengari dan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

