Pajakan Pulau Pinang: Tuntutan bayaran boleh melebihi RM100 juta setahun - Tun M

Tun Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Kedah masih mempunyai asas untuk menuntut bayaran sebanyak RM100 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan sebagai royalti pajakan tanah Pulau Pinang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tuntutan itu wajar dipertimbangkan kerana kerajaan Persekutuan telah mengambil alih peranan British dalam membuat bayaran tahunan bagi tanah Pulau Pinang yang ketika itu berjumlah RM100,000 setahun.

“Jumlah itu kemudian dinaikkan kepada RM10 juta. Ia berasaskan apa? Jika dinilai mengikut harga tanah, nilai tanah telah meningkat dengan ketara.

“Jika disebut RM100 juta, itu hanya angka. Tetapi jika kita mengambil kira nilai tanah semasa, saya melihat jumlahnya memang boleh mencecah RM100 juta,” katanya dalam satu siaran audio siar (podcast) khas pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Kedah kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan lantikan pasukan peguam bagi meneruskan proses perundangan berkaitan isu pajakan Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi pada 13 November lalu menegaskan beliau tidak gentar biarpun terpaksa berdepan laluan berliku untuk membawa isu pajakan Pulau Pinang ke mahkamah.

Pada masa sama, beliau menegaskan langkah perundangan itu dibuat bukanlah untuk mencabar perlembagaan, sebaliknya membiarkan perkara itu diselesaikan melalui saluran undang-undang.

Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, nilai tanah kini dijual berdasarkan kaki persegi yang mana, satu kaki persegi bersamaan dengan RM7,000.

Ujar beliau, nilai tanah juga boleh meningkat lebih tinggi apabila tanah kawasan terbabit dimajukan menjadi sebuah bandar.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kalau hendak minta lebih RM10 juta pun, saya fikir berasaskan kepada kiraan nilai tanah tetapi saya berpendapat ia bukan sekadar hendak letak Pulau Pinang di bawah kerajaan Kedah.

“Kita lihat di Kedah, setiap daerah pun ada cukai tersendiri yang boleh dikutip. Jadi saya tidak fikir Kerajaan Kedah hendak ambil alih Pulau Pinang,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan negeri Kedah menuntut bayaran royalti pajakan tanah Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun dari kerajaan Persekutuan
  • Tuntutan ini didasarkan pada peranan kerajaan Persekutuan yang mengambil alih tanggungjawab bayaran tahunan dari British
  • Nilai bayaran tahunan asal ialah RM100,000 dan kemudian dinaikkan kepada RM10 juta berdasarkan peningkatan nilai tanah
  • Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sedang memuktamadkan lantikan pasukan peguam untuk proses perundangan isu pajakan Pulau Pinang
  • Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan nilai tanah di Pulau Pinang kini meningkat, dengan harga per kaki persegi bisa mencapai RM7,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!