Lebih 100 mangsa dipindahkan, Tasek Gelugor mula dilanda banjir

TASEK GELUGOR - Beberapa kawasan di Tasek Gelugor di sini mula dilanda banjir sejak petang Ahad, melibatkan lebih 300 mangsa yang terkesan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Yazi Taib berkata, setakat ini dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan banjir di kawasan Kampung Desa Puri dan PPS Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya di Kampung Simpang Tiga.
Menurutnya, banjir berlaku disebabkan limpahan air dari Sungai Jarak dari Kulim yang mengalir dan mengakibatkan banjir di dua kampung terlibat.
"Setakat ini 28 keluarga melibatkan 107 mangsa telah dipindahkan ke PPS Desa Puri dan operasi pemindahan mangsa akan diteruskan pada petang ini.
"Keadaan cuaca yang tidak menentu mungkin menyebabkan banjir bertambah buruk dan merebak ke kawasan lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan operasi menyelamat mangsa banjir di sini pada Ahad.

Berikutan keadaan banjir yang dijangka lebih serius, Mohamad Yazi mengingatkan penduduk supaya lebih peka dengan paras air dan segera meninggalkan rumah sekiranya diarahkan berbuat demikian.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan berdasarkan pemantauan terkini, paras air dilihat semakin meningkat di beberapa kawasan rendah.
"Saya memohon agar semua penduduk, terutamanya di kawasan berisiko untuk sentiasa peka dan bersiap sedia sekiranya diarahkan berpindah.
"Setakat ini, pihak Sekretariat Parlimen Tasek Gelugor telah turun padang untuk menyalurkan bantuan kecemasan awal di PPS Desa Puri," katanya.
Ringkasan AI
- Beberapa kawasan di Tasek Gelugor dilanda banjir sejak petang Ahad, melibatkan lebih 300 mangsa
- Dua pusat pemindahan sementara dibuka di Kampung Desa Puri dan SK Pengkalan Jaya di Kampung Simpang Tiga
- Banjir disebabkan oleh limpahan air dari Sungai Jarak dari Kulim
- Sebanyak 28 keluarga melibatkan 107 mangsa dipindahkan ke PPS Desa Puri
- Ahli Parlimen Tasek Gelugor mengingatkan penduduk agar peka dengan paras air dan bersiap sedia berpindah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
