MP PN persoal kewibawaan SPRM siasat dakwaan rasuah libat Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kewibawaan atau kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat dakwaan kes rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, persoalan itu timbul apabila nama SPRM juga turut disebut terlibat dalam kes berkenaan.
“Kami telah mengeluarkan kenyataan media yang jelas sebelum ini (apabila dakwaan kes rasuah timbul) dan pada masa itu gesaan kita supaya siasatan yang terperinci perlu dijalankan oleh agensi-agensi penguat kuasa seperti SPRM dan sebagainya.
“Tetapi bila timbul pula dakwaan terkini sama ada tepat atau tidak kami tak pasti iaitu (mengenai) penglibatan SPRM sendiri di belakang ‘wayang’ yang berlaku ini. Jadi kewibawaan dan kredibiliti SPRM untuk menjadi pihak penyiasat pun dipersoalkan,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan Pas berpendapat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak lagi wajar terlibat dalam siasatan berhubung dakwaan kes rasuah yang didedahkan ahli perniagaan, Albert Tei.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, hal itu kerana nama pemimpin tertinggi agensi antirasuah tersebut disebut dalam klip video terbaru yang dimuat naik pada Rabu.
Walaupun tidak ada kepastian mengenai dakwaan yang terkandung dalam klip berkenaan, Ahmad Fadhli berkata, Azam serta SPRM dirasakan tidak lagi wajar menjalankan siasatan.
Sebelum itu, sebuah video tular memaparkan seorang wanita dengan wajah dikaburkan mendakwa Shamsul Iskandar telah bertemu Azam untuk menyelesaikan kes yang melibatkan Albert.
Video terbabit bagaimanapun tidak menyatakan bila dan di mana pertemuan tersebut didakwa berlangsung.
Ahli-ahli Parlimen PN pada Rabu mendesak SPRM menjalankan siasatan segera dan tanpa berlengah, menyeluruh serta bebas bagi menentusahkan dakwaan yang dibuat Albert.
Takiyuddin dilapor berkata, sekiranya siasatan SPRM tidak dilakukan, ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang.
SPRM juga mengumumkan pihaknya akan memanggil Shamsul Iskandar dan Albert untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan rasuah itu.
Albert mendakwa telah membelanjakan sebanyak RM629,000 untuk Shamsul Iskandar selepas kononnya diyakinkan bahawa beliau boleh mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.
Beliau antara lain mendakwa membayar pengubahsuaian, peralatan dan perabot untuk dua hartanah iaitu satu di Bangsar dan sebuah kediaman rasmi di Putrajaya.
Berikutan dakwaan tersebut, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri selain turut membuat laporan polis terhadap Albert yang didakwa telah melakukan fitnah dan konspirasi jahat terhadap Anwar.
Katanya, Albert telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Perdana Menteri untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.
Ringkasan AI
- Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kewibawaan SPRM dalam menyiasat dakwaan kes rasuah membabitkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
- Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyatakan kebimbangan terhadap kredibiliti SPRM kerana agensi itu juga disebut terlibat
- Pas berpendapat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, tidak wajar terlibat dalam siasatan berhubung dakwaan tersebut selepas namanya disebut dalam sebuah klip video
- Albert Tei mendakwa belanja RM629,000 untuk Shamsul Iskandar, yang termasuk pengubahsuaian dan peralatan untuk dua hartanah
- Shamsul Iskandar meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri dan membuat laporan polis terhadap Albert atas dakwaan fitnah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

