Sofia Rini dakwa Albert berniat jahat cemar nama PM, jatuhkan kerajaan

Sofia Rini menafikan menjadi proksi Shamsul Iskandar berhubung dakwaan rasuah. Foto ihsan pembaca
Sofia Rini menafikan menjadi proksi Shamsul Iskandar berhubung dakwaan rasuah. Foto ihsan pembaca
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita yang tular dalam sebuah video perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei, menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi proksi bagi bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Wanita yang memperkenalkan diri sebagai Sofia Rini Buyong menerusi satu video klip menegaskan dakwaan dan tohmahan yang dibuat Albert itu sebagai palsu selain menafikan tiada sebarang perbincangan dibuat berhubung proses permohonan bagi mendapatkan lesen perlombongan.

"Saya ingin memberi penjelasan bahawa saya tidak pernah berjumpa dan mengadakan sebarang perbincangan dengan Perdana Menteri berhubung dakwaan yang dibuat oleh Albert.

"Saya juga tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan Shamsul Iskandar berhubung tindakan yang Albert lakukan berkaitan dengan proses permohonan beliau untuk mendapatkan lesen perlombongan," katanya.

Jelas Sofia Rini, pertemuan dengan ahli perniagaan atau nama sebenarnya, Tei Jiann Chieng itu telah dirancang, namun perbualan yang berlangsung lebih satu jam itu telah dirakam tanpa pengetahuannya.

"Sepanjang perjumpaan tersebut, Albert berkali-kali mengulangi naratifnya dan beliau telah berkali-kali mendorong saya untuk mengesahkan naratifnya.

"Perbuatan ini seolah-olah satu konspirasi jahat untuk mencemarkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Shamsul Iskandar. Ia satu percubaan untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

"Seterusnya dakwaan sejumlah wang diberikan oleh Albert atas alasan bahawa Shamsul Iskandar boleh meyakinkan untuk mendapatkan kembali wang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah berkaitan lesen melombong jelas merupakan pembohongan yang nyata kerana tidak pernah ada perbincangan antara Albert, saya dan Shamsul Iskandar berhubung dengan perkara tersebut," katanya.

Wanita terbabit memberitahu bahawa dia sudah meminta nasihat guaman dan meminta polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap Albert dan dalang di belakangnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta seorang wanita yang dikaitkan dalam sebuah klip video melibatkan perbualan bersama Albert untuk hadir ke Pejabat SPRM bagi memberi keterangan.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, kehadiran wanita itu amat penting bagi membantu siasatan kes melibatkan Shamsul Iskandar.

Sebelum ini, video rakaman perbualan seorang wanita dikaitkan dengan Shamsul Iskandar dan Albert serta dakwaan mengambil wang lebih RM600,000 tular di media sosial.

Ringkasan AI

  • Wanita dalam video viral dengan Albert Tei nafi jadi proksi untuk bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri
  • Sofia Rini Buyong menafikan segala dakwaan dan tohmahan oleh Albert Tei sebagai palsu
  • Tidak ada perbincangan dengan Perdana Menteri atau Shamsul Iskandar mengenai permohonan lesen perlombongan
  • Pertemuan Sofia dengan Albert dirakam tanpa pengetahuan, dicurigai sebagai konspirasi mencemarkan nama Perdana Menteri dan Shamsul Iskandar
  • Sofia sudah minta nasihat guaman dan minta polis siasat Albert di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!