Isu perlombongan Sabah: Azam, SPRM tidak wajar kendalikan siasatan - Ahmad Fadhli

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki sewajarnya tidak lagi terlibat sebagai penyiasat dalam kes skandal perlombongan Sabah.
Ahmad Fadhli berkata, ini kerana terdapat pendedahan yang mengaitkan Azam dengan skandal tersebut.
“Seperti yang saya jangka semalam, video ini rupa-rupanya ada sambungan. Kali ini Tan Sri Azam Baki disebut.
“Benar atau tidak kandungan video ini, saya pun tiada maklumat,” ujarnya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Tular di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang wanita mendakwa Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, telah bertemu dengan Azam untuk menyelesaikan kes yang melibatkan seorang ahli perniagaan, Albert Tei.
Dalam perbualan sama, wanita itu mendakwa Shamsul Iskandar meminta Azam meringankan kes tersebut agar ia tidak berlanjutan terlalu lama.
Wanita itu memberitahu Shamsul Iskandar ada berjumpa dengan Azam mengenai kes Albert Tei memandangkan dia juga terpalit dalam perkara berkenaan.
Dakwa wanita itu lagi, Shamsul Iskandar mengaku membantu berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan perkara tersebut dalam pengetahuan Azam.
Apabila Albert Tei bertanya jika Shamsul Iskandar memberitahu Azam bahawa rakaman berkaitan skandal Sabah itu 'arahan PMX' (Datuk Seri Anwar Ibrahim), wanita itu menjawab, Azam tahu.
Ringkasan AI
- Ahmad Fadhli Shaari berpendapat SPRM dan Azam Baki tidak patut siasat skandal perlombongan Sabah kerana terdapat pendedahan yang mengaitkan Azam
- Video viral menunjukkan wanita mendakwa Setiausaha Politik PM bertemu Azam untuk bincang kes ahli perniagaan, Albert Tei
- Wanita itu dakwa Shamsul Iskandar minta Azam ringankan kes Albert Tei
- Shamsul Iskandar disebut telah berjumpa Azam berkenaan kes tersebut
- Wanita dalam video itu menyatakan Azam tahu tentang rakaman skandal Sabah yang disebut sebagai 'arahan PMX'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

