Hubungan Bersatu-Pas meruncing, Bersatu Dungun gesa Muhyiddin lepas jawatan

Ketua Bersatu Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail
Ketua Bersatu Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail
A
A
A

DUNGUN – Hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) disifatkan semakin meruncing dan membimbangkan menuntut tindakan tegas daripada kepimpinan tertinggi parti itu.

Ketua Bersatu Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, pihaknya bersama jawatankuasa bahagian serta sayap-sayap parti menyuarakan kebimbangan serius terhadap kegagalan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menjaga keharmonian dan hubungan strategik dengan rakan komponen PN khususnya Pas.

Menurutnya, perkembangan semasa bukan sahaja mencetuskan ketegangan dalaman, malah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ramai pemimpin Pas terhadap pendekatan dan tindakan yang diambil oleh Muhyiddin.

"Lebih membimbangkan, beliau dilihat telah kehilangan arah kepimpinan apabila cuba memanipulasi keadaan dalam Perikatan Nasional.

"Tan Sri Muhyiddin sebelum ini telah meletakkan jawatan, namun kini kelihatan seolah-olah ingin kembali menguasai jawatan Pengerusi PN, sekali gus mencetuskan kekeliruan serta ketidakstabilan dalam struktur kepimpinan gabungan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Abdul Aziz berkata, persepsi rakyat turut semakin negatif apabila wujud gambaran bahawa Muhyiddin tidak memberi ruang kepada pemimpin lain untuk menerajui jawatan Pengerusi PN, sebaliknya seolah-olah mahu memastikan jawatan itu tidak disandang oleh sesiapa sekiranya bukan beliau sendiri, termasuk melalui cadangan memansuhkan jawatan berkenaan.

Katanya, keadaan tersebut menimbulkan persoalan besar terhadap nilai kepimpinan, keikhlasan perjuangan serta keutamaan sebenar dalam politik, sama ada benar-benar demi rakyat dan kestabilan negara atau sekadar berteraskan kepentingan kuasa serta kedudukan peribadi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu bagi menjernihkan semula hubungan antara parti-parti dalam PN, khususnya Pas, sekali gus memperkukuhkan kembali gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"PN hanya akan kekal relevan dan diyakini rakyat sekiranya ia dipimpin dengan semangat kebersamaan, saling menghormati antara parti komponen serta mengutamakan kepimpinan yang berprinsip, berintegriti dan berjiwa besar," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Muhyiddin tidak dinamakan dalam senarai hadir ke mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, atas sebab itu, hanya ahli MTPN yang berbaki dipanggil untuk hadir ke mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, turut tidak disenarai sebagai yang akan hadir dalam mesyuarat itu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!