Letak jawatan belum cukup - Penganalisis

SHAH ALAM - Tindakan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri selepas terpalit dakwaan rasuah, dilihat belum mencukupi untuk mempertahankan imej Kerajaan Madani.
Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu sepatutnya berani menegakkan kebenaran melalui proses undang-undang dengan membuat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengembalikan kepercayaan awam.
Menurutnya, peletakan jawatan sering dianggap sebagai langkah moral dalam banyak sistem demokrasi termasuk Malaysia bagi memisahkan individu daripada institusi apabila terdapat dakwaan atau persepsi negatif yang berpotensi menjejaskan pentadbiran.
Tambah beliau, tindakan Shamsul Iskandar meletakkan jawatan sebagai usaha melindungi imej kerajaan menunjukkan tahap kebertanggungjawaban politik yang tinggi dalam konteks pentad-biran moden.
“Bagaimanapun, untuk mengelak ruang spekulasi dan meningkatkan ketelusan, langkah ini seharusnya disertai proses penjelasan, dan jika perlu tindakan undang-undang bagi membersihkan nama.
“Integriti bukan sahaja perlu dizahirkan melalui tindakan moral seperti meletakkan jawatan tetapi juga keberanian menegakkan kebenaran dengan proses undang-undang.
“Keseimbangan antara politik persepsi dan prinsip tatakelola yang tulen akan menentukan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani serta masa depan budaya politik negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Selasa, Shamsul Iskandar menerusi hantaran di platform X mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta, dengan mendakwa wujud percubaan untuk memburukkan dirinya, sekali gus boleh mencemarkan imej Kerajaan Madani.
Sebelum ini, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Anwar mengambil tindakan termasuk kemungkinan siasatan oleh SPRM berhubung sepucuk surat sokongan yang didakwa dikeluarkan oleh seorang daripada setiausaha politik Ahli Parlimen Tambun itu.
Bersedia ambil tanggungjawab politik
Sementara itu, ditanya mengenai mesej yang cuba disampaikan Shamsul Iskandar kepada pemimpin lain berhubung tindakan beliau meletakkan jawatan, Hussain Yusri berkata, pemimpin perlu lebih bersedia mengambil tanggungjawab politik walaupun secara peribadi mereka berasakan diri tidak bersalah.
Ini kerana katanya, dalam konteks politik moden, persepsi sering menjadi modal lebih berharga berbanding bukti kerana ia membentuk naratif awam dengan pantas.
“Tindakan ini juga mengukuhkan budaya politik baharu yang lebih menekankan tanggungjawab moral berbanding mempertahankan jawatan sehingga ke hujung.
“Dalam jangka panjang, ia berpotensi membentuk budaya politik lebih matang dan berintegriti, sesuatu yang sering dituntut rakyat Malaysia.
“Pemimpin perlu lebih berhati-hati kerana risiko serangan persepsi semakin tinggi dalam era digital. Ia boleh mendorong pemimpin mengambil pendekatan lebih defensif dan kurang berani membuat keputusan strategik, sekali gus memberi kesan kepada keberanian politik,” katanya.
Ringkasan AI
- Shamsul Iskandar Md Akin meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri selepas terlibat dalam dakwaan rasuah
- Peletakan jawatan dilihat sebagai langkah moral namun tidak mencukupi tanpa proses undang-undang untuk membersihkan nama
- Langkah peletakan jawatan adalah untuk melindungi imej kerajaan dan menunjukkan tanggungjawab politik
- Pengumuman peletakan jawatan dibuat melalui platform X dengan merujuk kepada percubaan memburukkan imej diri dan Kerajaan Madani
- Pemimpin perlu bersedia mengambil tanggungjawab politik dan mempertimbangkan persepsi awam dalam era digital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

