Dakwaan masyarakat Cina rindu era Najib bercanggah realiti - Ketua AMK Johor

JOHOR BAHRU – Dakwaan kononnya masyarakat Cina merindui era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai mengelirukan dan tidak selari dengan fakta serta realiti di lapangan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlaku akibat kemarahan rakyat Malaysia merentasi kaum, termasuk masyarakat Cina, terhadap salah guna kuasa dan rasuah berskala besar.
“Kes rasuah melibatkan Datuk Seri Najib bukan lagi persepsi politik kerana ia telah dibuktikan di mahkamah apabila beliau disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara serta denda dalam kes SRC International.
"Fakta ini mengesahkan sebab utama penolakan rakyat ketika itu, iaitu pengkhianatan terhadap integriti dan amanah,” katanya dalam satu kenyataan.
Faezuddin berkata, landskap politik dan pentadbiran negara kini sudah berubah dengan Malaysia berada dalam fasa pemulihan ekonomi yang lebih tersusun di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, antara fakta yang perlu dinilai secara adil ialah pengukuhan bantuan bersasar kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan lain-lain bagi melindungi golongan berpendapatan rendah serta sederhana.
Selain itu, katanya, disiplin fiskal turut diperkemas melalui usaha mengurangkan pembaziran, mengekang ketirisan dan menstabilkan hutang kerajaan.
“Agenda memerangi rasuah terus dilaksanakan dengan pengukuhan peranan agensi penguatkuasaan, pendakwaan berprofil tinggi serta penekanan prinsip tadbir urus baik di semua kementerian. Ini menunjukkan hala tuju jelas untuk membina ekonomi yang mampan,” ujarnya.
Mengulas sentimen akar umbi, Faezuddin berkata AMK Johor sentiasa turun padang, termasuk di kawasan Puteri Wangsa, dan setakat ini tidak pernah mendengar masyarakat Cina menyatakan kerinduan untuk kembali ke era pentadbiran Najib.
“Apa yang kami dengar ialah tuntutan supaya reformasi dipercepatkan, kos sara hidup ditangani dengan lebih berkesan dan integriti pentadbiran terus dipertahankan.
"Semua teguran rakyat ini wajib kita terima dan laksanakan secara konsisten,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya wujud dakwaan sebaliknya, ia berkemungkinan hanya berlegar dalam kelompok tertentu dan bukan suara sebenar akar umbi rakyat.
Pada Jumaat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, segelintir pengundi Cina mula ‘rindukan’ zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Presiden MUDA itu berpendapat kenyataan tersebut merupakan amaran kepada pemimpin kerajaan khususnya dari DAP.
Beliau turut mengesahkan kenyataan berkenaan sering disebut dalam pertemuan bersama masyarakat Cina melalui sesi kaunter bergerak.
Ringkasan AI
- Dakwaan masyarakat Cina merindui era Najib disifatkan mengelirukan dan tak selari dengan fakta
- Kejatuhan BN dalam PRU14 kerana kemarahan merentasi kaum terhadap salah guna kuasa dan rasuah
- Kes rasuah Najib dibuktikan di mahkamah, disabitkan bersalah menjadikan pengkhianatan integriti sebab utama penolakan rakyat
- Malaysia kini dalam pemulihan ekonomi di bawah Anwar Ibrahim dengan penekanan pada bantuan rakyat dan disiplin fiskal
- AMK Johor tidak mendengar masyarakat Cina merindukan era Najib, sebaliknya tuntutan reformasi dan penanganan kos sara hidup
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

