'Jika video tulen, siasat Anwar dan Azam Baki' - Hassan Karim

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat rakaman video didedahkan ahli perniagaan, Albert Tei yang mengaitkan Ketua Pesuruhjayanya sendiri iaitu Tan Sri Azam Baki termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Memetik laporan portal Malaysiakini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bagaimanapun berpandangan, di sisi undang-undang ketika ini, ia masih dianggap sebagai khabar angin.
“Bagaimanapun, SPRM mesti menyiasat video tersebut. Jika ia tulen, maka Azam mesti disiasat.
“Untuk mengelakkan persepsi konflik berkepentingan, Azam perlu menarik diri daripada sebarang peranan dalam siasatan,” kata veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada Khamis.
Pada Rabu, tular video seorang wanita dengan wajah dikaburkan yang mendakwa Shamsul Iskandar bertemu dengan Azam untuk menyelesaikan kes melibatkan Albert.
Dalam perbualan sama, apabila Albert bertanya sama ada Shamsul Iskandar memberitahu Azam bahawa rakaman berkaitan skandal Sabah itu adalah 'arahan PM' (Anwar), wanita itu menjawab bahawa 'Azam tahu'.
Wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong kemudian muncul dalam video lain yang menafikan beliau sebagai proksi Shamsul Iskandar, selain berkata tidak pernah berjumpa atau berbincang dengan Anwar berhubung dakwaan Albert.
SPRM memaklumkan bakal memanggil kedua-duanya, Shamsul Iskandar dan Albert untuk siasatan lanjut berhubung 'tohmahan' rasuah itu.
Sementara itu, Hassan berpendapat sekiranya video tersebut benar dan tulen, bukan sahaja Azam perlu disiasat, tetapi juga Anwar.
“Tiada kekebalan tersedia buat mana-mana Perdana Menteri daripada siasatan yang melibatkan sebarang bentuk kesalahan jenayah terutamanya rasuah dan salah guna kuasa,” ujar beliau.
Ditanya mengenai status Shamsul Iskandar dalam PKR, Hassan berpandangan, Lembaga Disiplin mempunyai tanggungjawab untuk memanggil bekas pegawai kanan itu bagi menjawab segala pertuduhan kerana ia mencemarkan imej parti.
“Sehubungan itu, keadilan semula jadi mesti diberikan kepada Shamsul Iskandar untuk membela diri. Ruang secukupnya mesti diberikan kepadanya untuk membuat penjelasan,” katanya lagi.
Albert yang menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, baru-baru ini mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar selepas diyakinkan boleh mendapat kembali wang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Beliau juga telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp berserta resit untuk menguatkan dakwaannya.
Shamsul Iskandar pada Selasa meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada PM dengan mendakwa terdapat percubaan menyerangnya untuk merosakkan imej Kerajaan Madani.
Ringkasan AI
- SPRM digesa menyiasat rakaman video yang mengaitkan Ketua Pesuruhjayanya dengan Perdana Menteri dan Setiausaha Politik Kanannya
- Albert Tei mendakwa Shamsul Iskandar bertemu dengan Azam Baki untuk menyelesaikan kes melibatkan dirinya
- Sofia Rini Buyong menafikan beliau sebagai proksi Shamsul Iskandar dan tidak pernah berjumpa dengan Anwar
- SPRM akan memanggil Shamsul Iskandar dan Albert Tei untuk siasatan lanjut
- Shamsul Iskandar meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada PM selepas dakwaan terhadapnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

