Shamsul Iskandar buat laporan, Albert fitnah dan ada niat jahat terhadap PM

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis terhadap seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei yang didakwa telah melakukan fitnah dan konspirasi jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu, Albert telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Perdana Menteri untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.

"Di sela-sela kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Gum Gum, pada jam 5.05 petang tadi saya telah membuat laporan polis terhadap Albert Tei.

"Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej PM (Perdana Menteri) dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen Pilihan Raya Negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambah Shamsul Iskandar, beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak polis mahu pun badan penguatkuasaan lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memulakan siasatan kes tersebut.

"Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri," tegasnya.

Terdahulu, SPRM memaklumkan akan memanggil Albert dan Shamsul Iskandar untuk memberi keterangan berhubung penerimaan wang berkaitan lesen perlombongan.

Shamsul Iskandar meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada Selasa dengan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani.

Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan beberapa pendedahan yang terkait dengannya termasuklah seorang ahli perniagaan Albert atau nama sebenarnya, Tei Jiann Cheing.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan sebuah portal berita, Albert mendakwa telah memberi RM629,000 kepada Shamsul Iskandar atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

Selain itu, tular di media sosial mengenai sepucuk surat yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri.

Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan buat pembantu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memintanya mempertimbangkan enam kontraktor dalam sebuah projek hospital di Muar.

 

 

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis terhadap Albert Tei atas dakwaan fitnah dan konspirasi jahat terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim
  • Albert Tei membuat tohmahan mengatakan ada arahan daripada Perdana Menteri untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah
  • Shamsul Iskandar menyatakan perbuatan Albert Tei itu adalah konspirasi untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik
  • Shamsul Iskandar menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan polis serta badan penguatkuasaan lain termasuk SPRM untuk siasatan
  • Shamsul Iskandar meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri dan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!