Dakwaan rasuah libat Shamsul Iskandar: PN gesa SPRM siasat Anwar

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan salah guna kuasa susulan dakwaan rasuah melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, skandal tersebut mengejutkan rakyat berikutan ia melibatkan individu paling rapat dengan Perdana Menteri.

"Lebih membimbangkan, bekas Setiausaha Politik Kanan tersebut serta Perdana Menteri didakwa terlibat dalam satu konspirasi untuk menggunakan kes rasuah lesen mineral yang membabitkan ahli-ahli politik Sabah dari parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kepentingan politik peribadi.

"Ini dakwaan yang jauh lebih berat daripada tuduhan rasuah terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Menurut beliau, video pendedahan oleh individu bernama Albert Tei yang tular di media sosial menimbulkan beberapa persoalan yang amat meresahkan mengenai integriti pemimpin negara itu.

"Adakah benar Perdana Menteri menggunakan kedudukannya untuk melindungi ahli-ahli politik GRS yang terbabit dalam kes rasuah lesen mineral Sabah sebagai balasan untuk mereka terus menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Madani?

"Adakah benar Perdana Menteri menggunakan kes rasuah ahli-ahli politik GRS sebagai ugutan terhadap ahli-ahli politik tersebut? Perdana Menteri tidak boleh mengelak daripada menjawab persoalan-persoalan ini," katanya.

Terdahulu media melaporkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri dengan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani.

Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan beberapa pendedahan yang terkait dengannya termasuklah seorang ahli perniagaaan yang dikenali sebagai Albert atau nama sebenarnya, Tei Jiann Cheing.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan sebuah portal berita, Albert mendakwa telah memberi RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

Selain itu, tular di media sosial mengenai sepucuk surat yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri.

Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan buat pembantu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memintanya mempertimbangkan enam kontraktor dalam sebuah projek hospital di Muar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!