Anwar terima peletakan jawatan Shamsul, SPRM bebas siasat segala tuduhan

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Setiausaha Politik Kanannya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Anwar turut menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera terhadap segala tuduhan.
"Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar.
"Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang," katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Shamsul atas khidmat beliau.
Shamsul pada lewat petang Selasa mengumumkan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Anwar.
Ia dipercayai ada kaitan dengan beberapa pendedahan yang terkait dengannya termasuklah seorang ahli perniagaaan yang dikenali sebagai Albert Tei atau nama sebenarnya, Tei Jiann Cheing mendakwa telah memberi RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Selain itu, tular di media sosial mengenai sepucuk surat yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri.
Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan buat pembantu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memintanya mempertimbangkan enam kontraktor dalam sebuah projek hospital di Muar.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Khamis lalu menamakan Shamsul Iskandar sebagai individu yang menulis surat sokongan itu.
Pada 18 November lepas, Anwar mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau telah menegur setiausaha politiknya.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dibuat.
Sehubungan itu beberapa pihak termasuk pembangkang menggesa SPRM menjalankan siasatan segera dan telus berhubung dengan tuduhan berkaitan.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Setiausaha Politik Kanannya
- Anwar menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan terhadap tuduhan tanpa campur tangan
- Shamsul Iskandar dikaitkan dengan penerimaan RM629,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei
- Rafizi Ramli menamakan Shamsul sebagai individu yang menulis surat sokongan untuk enam kontraktor dalam projek hospital di Muar
- Kerajaan Madani menegaskan prinsip ketelusan dan integriti dalam menghadapi tuduhan dan siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

