Banjir Hatyai: Pelajar, pensyarah UUM dalam proses pulang ke Malaysia hari ini

Perkembangan terkini pelajar UUM yang selamat keluar daripada hotel dan menaiki trak untuk ke PPS, seterusnya bergerak pulang ke Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam. Gambar kecil (Ahmad Martadha)
Perkembangan terkini pelajar UUM yang selamat keluar daripada hotel dan menaiki trak untuk ke PPS, seterusnya bergerak pulang ke Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam. Gambar kecil (Ahmad Martadha)
A
A
A

SHAH ALAM – Usaha membawa pulang 40 pelajar termasuk pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM), yang terkandas akibat banjir di Hatyai ke tanah air dijadual bermula hari ini dengan bantuan Konsulat Malaysia di sana.

Perkembangan semasa itu dikongsikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Sukan, Prince of Songkhla University, kepada Sinar Harian melalui panggilan telefon.

Menurut beliau, setakat jam 1.28 tengah hari (waktu tempatan), kesemua pelajar dan pensyarah yang menginap di Hotel Wangburapha telah berjaya keluar dan kini dalam perjalanan menaiki trak ke PPS, sebelum bergerak pulang ke Malaysia melalui sempadan Bukit Kayu Hitam.

“Pasukan penyelamat dan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, juga telah bergerak ke kawasan tersebut. Namun seperti yang kita maklum, arus air sangat deras, jadi memang sukar untuk sampai dalam tempoh masa yang singkat.

“Kita mengharapkan agar bot bantuan lain akan tiba segera di lokasi mangsa untuk membawa mereka ke PPS di Prince of Songkhla University sebelum pulang ke Malaysia.

“Saya menunggu di PPS ini dan pihak universiti telah menyediakan pengangkutan dengan kerjasama Prince of Songkhla University untuk membawa mereka pulang ke tanah air. Di sempadan Bukit Kayu Hitam, pengangkutan tambahan disediakan, termasuk pasukan perubatan yang sedang menunggu,” katanya pada Khamis.

40 pelajar dan pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas banjir di Hatyai.
40 pelajar dan pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas banjir di Hatyai.

Penganalisis hubungan politik antarabangsa itu mengakui proses evakuasi mengambil masa agak lama berikutan air banjir yang deras, melepasi paras antara 10 hingga 20 kaki.

Artikel Berkaitan:

Namun, jelas Ahmad Martadha, pihaknya bersyukur kerana hotel tempat pelajar dan pensyarah UUM menginap terletak di kawasan yang agak tinggi, dan kesemua mereka berada dalam keadaan baik meskipun bekalan elektrik terputus sejak lima hari lalu.

“Hujan di Hatyai telah berhenti dan cuaca setakat tengah hari ini mendung, cuma kita bimbang gelombang ketiga banjir yang dikhabarkan bakal berlaku esok.

“Justeru, dalam keadaan berjaga-jaga ini, kita berharap proses evakuasi dapat diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Martadha memaklumkan bahawa beliau kini berada bersama kira-kira 10,000 rakyat Malaysia termasuk warga Thailand di PPS berkenaan.

Tambah beliau, usaha menyelamat agak rumit kerana kawasan terjejas hanya boleh dimasuki oleh individu yang ditetapkan oleh Pejabat Konsulat Jeneral.

“Mereka yang menyelaras semua gerakan menyelamat untuk rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hatyai.

“Bagi rakyat Malaysia, pihak konsulat yang menguruskan sepenuhnya. Operasi menyelamat telah bermula sejak dua hingga tiga hari lalu dengan tumpuan diberikan kepada kawasan hotel yang hampir tenggelam.

“Usaha menyelamat rakyat Malaysia sentiasa dilaksanakan oleh kerajaan menerusi Wisma Putra dan konsulat, dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia serta bantuan daripada rakyat Thailand juga,” katanya.

Ringkasan AI

  • Usaha membawa pulang 40 pelajar dan pensyarah UUM yang terkandas di Hatyai akibat banjir dijalankan dengan bantuan Konsulat Malaysia
  • Kesemua mereka berjaya keluar dari hotel dan dalam perjalanan ke PPS sebelum pulang melalui sempadan Bukit Kayu Hitam
  • Evakuasi mengambil masa lama disebabkan oleh arus banjir yang sangat deras
  • Pelajar dan pensyarah berada dalam keadaan baik walaupun bekalan elektrik terputus sejak lima hari yang lalu
  • Operasi penyelamatan dikendalikan oleh Konsulat Jeneral dengan kerjasama NGO dari Malaysia dan bantuan rakyat Thailand

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!