Paras banjir Hatyai meningkat, pelajar UUM bergantung air hujan dan makanan terhad

Pemandangan dari tingkat 5 Wangburapa Grand Hotel, tempat menginap pelajar UUM yang terkepung banjir di Hatyai. Foto Ihsan UUM
Pemandangan dari tingkat 5 Wangburapa Grand Hotel, tempat menginap pelajar UUM yang terkepung banjir di Hatyai. Foto Ihsan UUM
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM – Paras air banjir di Hatyai, Thailand pada pagi Selasa dilaporkan semakin meningkat hingga mencecah tingkat satu hotel penginapan 40 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di bandar tersebut sejak 22 November lalu.

Wakil pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi berkata, perkembangan terkini setakat 8.18 pagi (waktu Thailand) mendapati arus deras menyukarkan bot penyelamat untuk sampai ke lokasi mereka.

Bagaimanapun katanya, keadaan pelajar dan staf masih terkawal namun mereka kini bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk keperluan harian termasuk mandi dan membuang air.

“Kami hanya bergantung kepada bekalan makanan yang disalurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla. Namun, jumlahnya sangat terhad dan terpaksa dikongsi sesama kami.

“Saya sangat berharap agar ada bantuan lain yang boleh disalurkan kepada kami, khususnya dari segi bekalan makanan. Setakat ini, hanya konsulat yang membantu,” katanya dalam satu hantaran WhatsApp kepada pihak UUM pada pagi Selasa.

Menurutnya, kekangan logistik akibat banjir menyukarkan sebarang bentuk penghantaran bantuan tambahan ke lokasi mereka.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, UUM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi pemindahan ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat yang melanda Hatyai sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, tindakan ini dibuat setelah mengambil kira makluman situasi semasa dan arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

Koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan pihak berkuasa Hatyai akan dilaksanakan secepat mungkin apabila keadaan cuaca mengizinkan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua pelajar dan pensyarah terbabit merupakan peserta program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, UUM.

Mereka dijadualkan pulang ke tanah air selepas tamat program, namun terpaksa menangguhkan perjalanan susulan bencana banjir yang melanda wilayah selatan Thailand.

 

 

Ringkasan AI

  • Pelajar dan pensyarah UUM terkandas di Hatyai, Thailand akibat banjir
  • Paras air banjir meningkat sehingga mencecah tingkat satu hotel penginapan mereka
  • Pelajar bergantung kepada air hujan untuk keperluan harian dan bekalan makanan yang sangat terhad dari Konsulat Jeneral Malaysia
  • Kekangan logistik akibat banjir menyukarkan penghantaran bantuan tambahan
  • Operasi pemindahan ditangguhkan akibat hujan lebat, koordinasi untuk pemindahan akan dilaksanakan apabila cuaca mengizinkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!