Banjir Hatyai: Mangsa tunggu keluarga, enggan tinggal bagasi sukarkan operasi menyelamat

Urusan membawa pulang rakyat Malaysia dilakukan setelah banjir di Hatyai surut. Foto PBS
Urusan membawa pulang rakyat Malaysia dilakukan setelah banjir di Hatyai surut. Foto PBS
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Pasukan sukarelawan Malaysia berdepan cabaran membawa keluar mangsa terkandas di Hatyai memandangkan ada antara mereka yang mahu menunggu ahli keluarga selain enggan meninggalkan bagasi sehingga menyukarkan pergerakan.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, selain melambatkan operasi pemindahan, tindakan itu juga menyebabkan jumlah mangsa yang boleh dibawa pulang terhad.

Menurutnya, tindakan segelintir mangsa itu menjejaskan matlamat utama untuk membawa keluar lebih ramai mangsa pulang ke Malaysia.

"Ada antara mereka enggan berpindah apabila kita sampai kerana menunggu ahli keluarga atau tidak mahu meninggalkan bagasi mereka.

“Memandangkan ruang bot terhad dan prinsip utama ialah menyelamatkan nyawa, kami tidak dapat membawa keluar bagasi dalam jumlah besar,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Difahamkan, kira-kira 1,006 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari bandar itu dengan bantuan pasukan sukarelawan sehingga tengah hari Rabu.

Menurutnya, paras air di Hatyai yang mula menurun, membolehkan pasukan itu memasuki kawasan terjejas dengan membawa lapan bot penyelamat dan beberapa lori yang sarat dengan bekalan bantuan.

Beliau berkata, anggota pasukan sukarelawan kini bertungkus lumus untuk memastikan semua rakyat Malaysia terkandas dibawa pulang dengan selamat.

Dalam pada itu, Beng Tat meminta orang ramai supaya tidak membuat panggilan yang tidak mendesak kepada pasukan sukarelawan bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi.

Artikel Berkaitan:

“Empat telefon bimbit pasukan operasi telah rosak setelah ditenggelami air, namun pasukan tetap meneruskan tugas tanpa henti walaupun berdepan kesukaran,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pasukan sukarelawan Malaysia menghadapi cabaran membawa keluar mangsa terkandas di Hatyai kerana beberapa mangsa enggan meninggalkan bagasi atau menunggu ahli keluarga
  • Leong Beng Tat menyatakan tindakan tersebut melambatkan operasi pemindahan dan menyebabkan jumlah mangsa yang dapat dibawa pulang terhad
  • Prinsip utama operasi ini ialah menyelamatkan nyawa, oleh itu tidak dapat membawa keluar bagasi dalam jumlah besar
  • Kira-kira 1,006 rakyat Malaysia telah berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari Hatyai dengan bantuan pasukan sukarelawan
  • Pasukan sukarelawan menghadapi kesukaran termasuk telefon bimbit rosak akibat air tetapi bertekad meneruskan tugas tanpa henti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!