Banjir Hatyai: Rakyat Malaysia berenang selamatkan diri

HATYAI - Seorang mangsa banjir dari Malaysia, Jerai Akhlaken Yunus berkongsi pengalaman cemas ketika beliau bersama keluarganya terperangkap dalam banjir besar yang melanda Hatyai, Thailand.
Dalam satu hantaran di Facebook, Jerai memaklumkan mereka terpaksa berenang keluar dari rumah inap yang dinaiki air sebelum berjaya menuju ke kereta yang diparkir di jejambat berdekatan Balai Polis Besar Hatyai.
“Kebetulan kereta yang aku park dekat flyover Balai Polis Besar Hatyai, mereka dah mula alihkan kereta‑kereta yang tak bertuan untuk beri laluan kepada kenderaan dan jentera bantuan di kawasan kami,” tulis Jerai di laman Facebooknya pada Isnin.

Menurutnya, selepas berjaya keluar dari kawasan ‘hotspot’ banjir, mereka mencari hotel untuk menginap sementara dan membersihkan diri serta barangan yang sudah berbau selepas terkena air banjir.
Bagaimanapun, semua hotel di sekitar dilaporkan penuh dan mereka akhirnya memilih untuk menumpang di sebuah pusat perlindungan sementara berdekatan.
“Badan dah bersih, kereta selamat, tunggu esok untuk fikirkan cara nak balik sempadan," tambahnya.
Dalam tempoh tiga hari, Hatyai mencatatkan hujan terkumpul antara 544 hingga 595 milimeter, sekali gus mengatasi rekod banjir besar pada tahun 2000 dan 2010.
Jabatan Pengairan Diraja Thailand (Royal Irrigation Department) memaklumkan sistem saliran bandar itu gagal menampung jumlah hujan luar biasa sehingga menyebabkan paras air naik mendadak di saluran utama dan beberapa terusan termasuk Khlong Rian dan Khlong Sam Sip Met.
Banjir kali ini disifatkan antara yang terburuk dalam sejarah Hatyai, apabila banyak kawasan tenggelam dan memberi kesan besar kepada penduduk serta pelancong.
Operasi menyelamat dan bantuan kecemasan kini giat dijalankan pihak berkuasa Thailand, namun keadaan masih mencabar, terutama bagi mangsa seperti Jerai untuk merancang perjalanan pulang ke sempadan.
Ringkasan AI
- Jerai Akhlaken Yunus dan keluarganya terperangkap dalam banjir besar di Hatyai, Thailand
- Mereka terpaksa berenang keluar dari rumah inap yang dinaiki air untuk menuju ke kereta mereka
- Selepas keluar dari kawasan banjir, mereka mencari tempat penumpangan sementara tapi semua hotel penuh
- Mereka berakhir dengan menumpang di sebuah pusat perlindungan sementara
- Hatyai mencatatkan hujan terkumpul antara 544 hingga 595 milimeter, menjadikan banjir kali ini antara yang terburuk dalam sejarah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

