Pelepasan air Empangan Jajar terkawal, dilakukan secara berperingkat - JPS

KUALA TERENGGANU - Proses pelepasan air Empangan Jajar di Besut yang tular di media sosial sejak awal pagi Rabu dilakukan secara berperingkat berikutan cuaca buruk dan peningkatan paras air di bahagian hulu Sungai Besut.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir Osman Abdullah berkata, proses tersebut bermula jam 3 pagi dengan kadar bukaan 40 peratus bagi keempat-empat pintu air sebelum ditingkatkan kepada 60 peratus pada jam 4 pagi dan seterusnya sehingga 80 peratus pada jam 11 pagi.
Menurutnya, pelepasan itu memberi kesan kepada aliran di kawasan hilir apabila bacaan aras air di Jambatan Jerteh meningkat ke paras waspada iaitu 6.20 meter pada jam 1 tengah hari.
"Jangkaan pergerakan aliran dijangka tiba di Pengkalan Nangka sekitar jam 4 petang dan kesannya turut dirasai di beberapa kampung berhampiran termasuk Kampung Amir, Kampung Nangka, Kampung Lampu dan Kampung Pinang," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, proses pelepasan air itu di bawah tanggungjawab Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) dan dilakukan secara berterusan.
Katanya, JPS akan terus melakukan pemantauan rapi dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan hilir Empangan Jajar bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran aliran air sungai.
Terdahulu, tular video berdurasi 22 saat memaparkan proses pelepasan air dari empangan berkenaan yang mengundang pelbagai reaksi dan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial.
Ringkasan AI
- Proses pelepasan air Empangan Jajar di Besut dilakukan berikutan cuaca buruk dan peningkatan paras air
- Pelepasan air bermula jam 3 pagi dengan kadar bukaan pintu air dinaikkan secara berperingkat
- Bacaan aras air di Jambatan Jerteh mencapai paras waspada pada jam 1 tengah hari
- Pelepasan air itu memberi kesan kepada beberapa kampung berhampiran
- JPS memantau keselamatan penduduk dan kelancaran aliran air sungai secara berterusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
