AKPS bawa masuk veteran ATM secara berperingkat mulai Januari ini

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan memulakan pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, proses itu dijangka bermula sebaik sahaja peruntukan Belanjawan 2026 disalurkan kepada agensi berkenaan.

“Secara prinsipnya, kita menjangkakan pengambilan veteran tentera dapat dimulakan pada Januari tahun depan.

"Proses pengambilan akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis.

Mohd Shuhaily berkata, pengambilan veteran tentera memberi kelebihan besar kepada agensi berkenaan kerana golongan itu mempunyai disiplin dan pengalaman luas dalam keselamatan serta pertahanan negara.

"Saya percaya kelebihan ini bukan sahaja dapat memperkukuh keupayaan operasi AKPS, malah membantu mengurangkan kos latihan dan perbelanjaan operasi keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, proses pengambilan tersebut akan dilaksanakan melalui model seperti yang digunakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Ia bukan lantikan tetap dalam perkhidmatan awam,” tegasnya.

Sebelum ini, AKPS bakal menerima 220 perjawatan baharu dengan keutamaan diberikan kepada veteran ATM bagi memperkukuh kawalan sempadan negara bermula tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Pengambilan veteran itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh keselamatan di pintu masuk negara.

Ringkasan AI

  • Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan mula mengambil veteran ATM bermula Januari tahun depan
  • Pengambilan tersebut bermula selepas peruntukan Belanjawan 2026 disalurkan
  • Veteran tentera dianggap membawa kelebihan dalam disiplin dan pengalaman keselamatan
  • Proses pengambilan akan dilakukan secara berperingkat dan tidak sebagai lantikan tetap
  • Pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 untuk memperkukuh keselamatan sempadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!