Konsep bina dan jual rumah baharu belum diwajibkan di Perak

IPOH - Kerajaan Perak belum mewajibkan konsep bina dan jual (BTS) bagi projek perumahan baharu di negeri ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, keputusan itu masih memerlukan penelitian mendalam memandangkan pelaksanaan BTS melibatkan implikasi besar terhadap pemaju, industri dan pengguna, termasuk faktor kekukuhan kewangan pemaju khususnya yang berskala kecil dan sederhana.
Menurutnya, model BTS memerlukan modal permulaan jauh lebih besar dan terdapat risiko pemaju memindahkan kos pembiayaan awal kepada pembeli yang akhirnya boleh meningkatkan harga rumah.
"Kerajaan negeri juga perlu melihat kesediaan rantaian industri termasuk pembiayaan bank, kawal selia serta bentuk insentif yang diperlukan supaya pelaksanaan BTS dapat dijalankan secara mampan.
"Keserasian dengan pasaran perumahan di Perak turut diambil kira, termasuk permintaan dan kemampuan rakyat serta struktur industri pemajuan negeri," katanya menjawab soalan Chaw Kam Foon (PH-Menglembu) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.
Sandrea berkata, sebagai langkah persediaan menyokong hala tuju nasional, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mengadakan beberapa siri libat urus bersama pemaju, institusi kewangan, persatuan hartanah dan pemain industri bagi mendapatkan maklum balas tentang keperluan serta cabaran pelaksanaan BTS.
Selain itu katanya, LPHP turut menjalankan kajian dalaman terhadap model BTS yang berjaya dilaksanakan di beberapa negeri lain serta menilai kesediaan pasaran perumahan Perak mengikut segmen dan kategori projek.
Jelas beliau, pendekatan itu penting supaya Perak berada dalam keadaan bersedia sekiranya Kerajaan Persekutuan memuktamadkan pelaksanaan BTS secara lebih meluas pada masa depan.
"Bagi rakyat, rumah ialah impian seumur hidup dan impian itu wajar dilindungi bukannya dibiarkan terdedah kepada risiko yang tidak adil," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perak belum mewajibkan konsep bina dan jual bagi projek perumahan baharu
- Keputusan itu memerlukan penelitian mendalam kerana melibatkan implikasi besar terhadap pemaju dan industri
- Model BTS memerlukan modal permulaan yang lebih besar dan risiko peningkatan harga rumah
- Kerajaan negeri menilai kesediaan rantaian industri, kawal selia dan insentif untuk pelaksanaan BTS
- Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak mengadakan libat urus dan kajian dalaman untuk menyokong hala tuju nasional terhadap BTS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

