Penduduk Perumahan PR1MA Sungai Karang kecewa rumah baharu dilanda banjir kilat

KUANTAN – Baru beberapa bulan berpindah masuk ke rumah baharu, kegembiraan penduduk Perumahan PR1MA Sungai Karang di sini bertukar duka apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat pada Khamis.
Hujan lebat berterusan sejak tengah malam menyebabkan longkang gagal menampung air sehingga melimpah masuk ke rumah penduduk sekitar jam 9 pagi.
Penduduk, Mohd Qusairi Muda, 41, mengakui agak kecewa dengan kejadian yang berlaku memandangkan dia baru berpindah masuk ke rumah pertamanya itu pada awal November lalu.
Menurutnya, sebelum ini dia ada dimaklumkan bahawa kawasan perumahan itu agak rendah dan pernah berlaku banjir kilat yang dipercayai berpunca daripada masalah perparitan.

"Ini rumah pertama kami dan pertama kali juga alami kejadian banjir kilat seperti ini," kata juruteknik yang bertugas di Gebeng itu.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia bersama isteri dan anak-anak langsung tidak menyangka rumahnya akan dimasuki air.
"Awalnya, air longkang hanya melimpah ke ruang parkir, namun kira-kira jam 9 pagi, air mula masuk ke dalam rumah.
"Mujur baru pindah, perabot pun tidak banyak jadi mudah untuk menyelamatkan barang yang ada ke tempat lebih tinggi," katanya.
Tambahnya lagi, dia dan keluarganya masih menunggu perkembangan semasa dan akan berpindah sekiranya arahan dikeluarkan.
"Sekarang ini tunggu dan lihat dulu. Harapnya air segera surut," ujarnya.
Perasaan sama turut dirasai Syafiqah Shuhaimi, 32, apabila rumahnya antara yang terjejas dalam kejadian banjir kilat itu.

Pembantu kewangan itu berkata, dia dan keluarganya baru dua bulan mendiami rumah tersebut namun kini terpaksa berdepan pengalaman sebagai mangsa banjir kilat.
Katanya, kedalaman air di kawasan rumahnya kira-kira 0.1 meter dan telah masuk ke bahagian dalam rumah sekitar jam 10 pagi.
"Saya dan suami sempat mengemas dan menyelamatkan barang yang patut dan akan berpindah sekiranya keadaan semakin buruk atau ada arahan dikeluarkan," katanya.
Kejadian banjir kilat di kawasan perumahan itu mendapat perhatian pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu yang turun meninjau keadaan di lokasi.
Difahamkan, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff turut dijadualkan turun padang menemui penduduk terlibat.
Ringkasan AI
- Kegembiraan penduduk Perumahan PR1MA Sungai Karang bertukar duka kerana banjir kilat
- Hujan lebat menyebabkan longkang gagal menampung air, melimpah ke rumah penduduk
- Mohd Qusairi Muda kecewa, baru pindah masuk November lalu dan pertama kali mengalami banjir kilat
- Penduduk sudah dimaklumkan kawasan rendah dan berisiko banjir kilat kerana masalah perparitan
- Pemimpin setempat termasuk ADUN Beserah, Datuk Andansura Rabu meninjau keadaan, Exco turut dijadualkan menemui penduduk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

