Ibu muda redah banjir selamatkan anak cerebral palsy

Farah Hana bersama Nazir Hafiy ketika ditemui di PPS SK Sabak.
Farah Hana bersama Nazir Hafiy ketika ditemui di PPS SK Sabak.
A
A
A

KOTA BHARU - Banjir luar biasa akibat hujan lebat berterusan dan limpahan air pasang di Pulau Gajah, di sini, memaksa seorang ibu muda mendukung keluar anaknya yang terlantar, ketika air mula memasuki rumah mereka pada malam Ahad.

Farah Hana Zulkifli, 28, berkata, beliau segera menyelamatkan anaknya, Nazir Hafiy Nor Fazmi, 3, yang menghidap cerebral palsy dan memerlukan penjagaan sepenuhnya, berikutan bimbang paras air semakin meningkat serta menyukarkan pergerakan bersama anak orang kurang upaya (OKU) itu.

“Saya nampak air mula masuk dari dapur dan bilik air, jadi saya tak boleh tunggu lama.

“Takut kalau lambat, susah nak bawa anak tunggal saya ini keluar,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sabak, di sini.

Banjir yang berlaku selepas tiga hari hujan tanpa henti menyebabkan paras air mencecah hampir 0.5 meter di bahagian dapur dan bilik air rumah yang didiami bersama ibu bapa serta adiknya.

Menurut Farah Hana, keadaan menjadi lebih mencabar kerana Nazir Hafiy dilahirkan pramatang, pernah dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama empat hari ketika berusia setahun enam bulan dan hanya bergantung kepada susu melalui tiub setiap tiga jam.

“Kalau lambat bawa dia ke PPS, saya risau dia gelisah dan susah nak urus,” katanya yang berpindah bersama ibunya, Rokiyah Yusoff, 53, ke pusat pemindahan tersebut.

Farah Hana yang mendukung Nazir Hafiy seberat 13.3 kilogram turut dibantu oleh anggota polis yang membawa mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke PPS berkenaan.

Tubuh anaknya yang lembik menjadikan proses tersebut lebih memenatkan, selain perlu membawa semua keperluan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan keadaan anaknya yang sensitif, keluarga itu ditempatkan di tingkat tiga bangunan sekolah bagi memastikan suasana yang lebih tenang dan sesuai untuk penjagaan.

Farah berkata, ini merupakan kali pertama mereka berdepan situasi banjir yang memaksa berpindah, dan dia terpaksa meminta bantuan rakan menerusi aplikasi WhatsApp sebaik menyedari air mula memasuki rumah.

“Ini kali pertama kami kena pindah dan takut apabila air naik tinggi dari biasa,” katanya.

Ringkasan AI

  • Banjir luar biasa akibat hujan lebat membuat seorang ibu muda memindahkan anaknya yang menghidap cerebral palsy
  • Farah Hana Zulkifli menyelamatkan anaknya, Nazir Hafiy, kerana bimbang paras air semakin meningkat
  • Banjir setelah tiga hari hujan tanpa henti menyebabkan air mencapai hampir 0.5 meter di rumah mereka
  • Nazir Hafiy memerlukan penjagaan khusus, termasuk susu melalui tiub setiap tiga jam
  • Keluarga ditempatkan di tingkat tiga bangunan sekolah di pusat pemindahan untuk suasana yang lebih tenang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!