Banjir Hatyai: Rakyat Malaysia redah banjir 8km cari ubat untuk warga emas

BUKIT KAYU HITAM – Banjir di Hatyai, Thailand memaksa dua rakyat Malaysia mengambil risiko besar dengan meredah air sejauh lapan kilometer (km) untuk mendapatkan ubat-ubatan bagi warga emas yang terperangkap di hotel penginapan mereka.
Usaha itu dilakukan oleh Pengurus Besar Cuti-Cuti Langkawi Sdn Bhd, Dr Baharin Baharom bersama rakannya, Muhammad Aizat Rohizan, 30.
Mereka bergerak dalam keadaan berbahaya sebelum diiringi seorang anggota Tentera Darat Diraja Thailand (RTA) menuju ke Hospital Hatyai.
“Kami berdua redah banjir paras dada sejauh lapan kilometer untuk dapatkan bantuan. Seorang tentera RTA mengiringi kami sampai ke hospital,” katanya melalui WhatsApp pada Khamis.
Menurut Baharin, tindakan nekad itu dibuat selepas beberapa warga emas yang menginap di Hotel Paradise mula kehabisan ubat dan memerlukan rawatan segera.
Difahamkan, terdapat 103 rakyat Malaysia masih terperangkap di hotel berkenaan dan mereka terdiri daripada 23 lelaki, 50 wanita dan 30 warga emas.
Baharin berkata, situasi semakin membimbangkan berikutan bekalan elektrik terputus dan ubat-ubatan semakin berkurangan, selain mangsa tidak dapat keluar disebabkan arus deras serta jalan raya yang tenggelam sepenuhnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih 40 rakyat Malaysia termasuk sekumpulan warga emas dari Kelab Warga Emas Pontian, Johor masih terkandas di Hotel Paradise tanpa bekalan asas mencukupi.
Ringkasan AI
- Banjir di Hatyai, Thailand memaksa dua rakyat Malaysia meredah air sejauh lapan kilometer untuk mendapatkan ubat-ubatan bagi warga emas terperangkap di hotel
- Usaha penyelamatan dilakukan oleh Pengurus Besar Cuti-Cuti Langkawi Sdn Bhd, Dr Baharin Baharom bersama rakannya, Muhammad Aizat Rohizan
- Kedua-dua individu tersebut diiringi seorang anggota Tentera Darat Diraja Thailand dalam perjalanan mereka ke Hospital Hatyai
- Warga emas yang menginap di Hotel Paradise kehabisan ubat dan memerlukan rawatan segera, memicu tindakan nekad tersebut
- Situasi terjejas akibat bekalan elektrik terputus dan ubat-ubatan berkurangan, dengan 103 rakyat Malaysia masih terperangkap di hotel tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

